'Perikatan Borneo' hanya cantik di atas kertas, kata penganalisis
Iklan
IDEA parti politik pembangkang Sabah dan Sarawak membentuk pakatan rentas negeri bagi mendorong kepentingan kedua-dua negeri Borneo itu hanya cantik di atas kertas sahaja, menurut penganalisis.
Untuk melihat apa yang dinamakan sebagai “Perikatan Borneo” bertanding dalam pilihan raya mungkin satu penantian yang panjang, kata pakar politik Asia dari Universiti Tasmania, James Chin.
“Cantik di atas kertas tetapi kurang dalam pelaksanaan.
“Ia mungkin berlaku (suatu hari nanti) tetapi sudah tentu bukan untuk pilihan raya umum akan datang,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.
Sebabnya? Ego pemimpin parti yang berbeza, tambahnya.
“Banyak parti nasionalis negeri ini dipimpin oleh individu yang mempunyai ego sangat besar,” kata Chin.
Beliau berkata apabila mereka tidak dapat mencari faktor untuk bekerjasama dengan pihak yang mempunyai matlamat sama di dalam negeri sendiri, apatah lagi dengan parti di seberang sempadan.
“Kita menyaksikannya pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang lalu,” kata Chin merujuk kepada parti kecil seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan juga Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang tidak bersatu tetapi masih bercakap mengenai perikatan Borneo selepas kalah pada PRN Disember lalu.
Aspirasi dan PBDS bersetuju mengenai kerjasama pada PRN tetapi apabila tiba masanya, mereka memutuskan untuk bergerak sendiri.
PSB, di sebalik semua publisiti yang menyelubungi perbincangan mereka dengan DAP, akhirnya bercakaran sesama sendiri dalam pilihan raya.
Chin sebelum ini berkata permusuhan antara Presiden PSB Wong Soon Koh dan pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen terlalu dalam untuk dirapatkan.
Kegagalan itu mendorong Wong beralih kepada pihak lain.
Hujung bulan lalu Wong mendedahkan PSB dan Parti Warisan Sabah “secara prinsipnya bersetuju” untuk bekerjasama bagi merasmikan perikatan Borneo.
Begitu juga, presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang pro-kemerdekaan Voon Lee Shan pada Januari mengumumkan pihaknya sedang berbincang dengan “beberapa parti politik di Sabah” untuk membentuk Barisan Borneo bersatu bagi memperjuangkan kemerdekaan Sarawak dan Sabah.
Beliau tidak mendedahkan parti Sabah mana yang berbincang dengan beliau.
Apabila ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Voon berkata mereka “masih berunding”.
“Masih terlalu awal untuk bercakap. Ia akan diberitahu pada masa yang sesuai.”
Chin bagaimanapun menolak mengenai mengenai perbincangan itu.
“Jika mereka tidak dapat bersatu dalam pilihan raya negeri yang lalu, tiada peluang mereka boleh (bersetuju mengenai sesuatu) yang merentasi dua negeri.
Chin berkata idea perikatan Borneo bukanlah sesuatu yang baharu.
“Perikatan Borneo ini sudah wujud sejak 1960-an, bahkan sebelum Malaysia ditubuhkan,” katanya.
Beliau merujuk kepada cadangan mewujudkan persekutuan Borneo dalam kalangan jajahan British ketika itu di Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei sebagai alternatif kepada tiga negeri Borneo menyertai Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia.
Seorang penyokong Persekutuan Borneo ialah ahli politik Brunei A M Azahari yang kemudiannya menjadi terkenal kerana mengetuai pemberontakan Brunei pada 1962.
“Walaupun selepas Malaysia ditubuhkan, masih terdapat perbincangan mengenai blok Borneo antara Sabah dan Sarawak,” kata Chin.
Beliau berkata langkah semasa bagi pakatan sebegitu dirangsang oleh kebangkitan nasionalisme negeri.
“Ia masih barisan anti-Malaya.”
Chin berkata ketidakupayaan untuk mempunyai pakatan Borneo “memberitahu kita mengenai kualiti kepimpinan parti pembangkang berasaskan negeri”.
Penganalisis politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata pakatan Borneo yang terdiri daripada parti pembangkang hanya akan memberi sedikit impak dalam landskap politik negara kerana pengundi akan melihat mereka sebagai “suara pinggiran”.
Beliau berkata impak itu hanya akan berlaku jika parti atau gabungan utama, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Barisan Nasional, berada dalam satu perikatan.
“Agak sukar (jika parti itu berada di luar gabungan politik utama).”
Beliau berkata adalah lebih sukar bagi parti yang tidak mempunyai kerusi dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen untuk membawa agenda politiknya dalam mana-mana pakatan apabila ia tiada suara.
Baru-baru ini penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata parti politik di Sabah dan Sarawak mungkin membentuk perikatan Borneo bagi melobi lebih kuat kepentingan mereka di Putrajaya.
Beliau berkata sudah ada “tujuan jelas untuk membentuk sejenis perikatan Borneo, meniru politik di Sarawak”, merujuk kepada GPS yang diketuai oleh PBB. – 16 April, 2022.