Bersatu Terengganu mahu Muhyiddin jadi PM semula
Iklan
BERSATU Terengganu mahu presidennya Muhyiddin Yassin diumumkan sebagai calon perdana menteri bagi gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pilihan raya umum kelak.
Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris berkata Muhyiddin calon paling layak dan kemampuannya mentadbir negara terbukti semasa dilantik menjadi perdana menteri kelapan.
Menurutnya, ini kerana Muhyiddin hanya digulingkan kerana ditolak oleh wakil rakyat yang menyebabkan pentadbirannya tumbang, dan bukannya oleh pengundi.
“Bersatu Terengganu akan cadangkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dalam PRU15 kerana beliau sebelum ini bukan ditolak oleh rakyat, tapi oleh 15 ahli Parlimen,” katanya.
Langkah itu juga bagi menghadapi tindakan Umno yang sudahpun mengumumkan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob untuk kekal di jawatan itu dalam pilihan raya umum akan datang.
“Sebab itu kita cadangkan Muhyiddin diangkat sebagai calon perdana menteri. Sebab kalau Umno boleh cadangkan nama Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri mereka, jadi Bersatu pun boleh,” katanya.
Bagaimanapun, Bersatu buat masa ini masih kekal menyokong Ismail menjadi perdana menteri, katanya sewaktu ditumui dalam program bersama media di Kuala Terengganu malam tadi,.
“Pendirian Bersatu dan saya sebagai ahli MPT kita sokong Ismail Sabri sehingga bubar parlimen. Tapi sudah tentu parti masing-masing ada calon perdana menteri sendiri.
“Tapi setakat ini tak adalah fikir nak tumbang kerajaan kita akan terus bagi sokongan sehingga perdana menteri kata sesuai nak bubar Parlimen dan adakan PRU15,” katanya.
Umno pada Khamis mengumumkan, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu memutuskan Ismail sebagai calon perdana menteri bagi penggal seterusnya,
Usaha PN untuk mengangkat Muhyiddin kembali ke jawatan perdana menteri semula didedahkan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pada awal bulan ini.
Menurutnya, Muhyiddin meminta sokongan beliau untuk dilantik sebagai calon perdana menteri semula.
Pada masa sama, Bersatu berusaha menjalin kerjasama dengan parti pembangkang, termasuk dengan PKR yang mengumumkan kesediaan meneroka usaha tersebut.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos tahun lepas selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan ke atasnya.
Sepanjang 17 bulan memegang jawatan, Muhyiddin menguatkuasa kawalan pergerakan paling lama bagi membendung pandemik Covid-19.
Beliau juga menguatkuasa perintah darurat yang dikritik hebat kerana menghalang Parlimen bersidang. – 16 April, 2022.