Khairy akui terima dua saman kes vaksin Covid-19
Iklan
MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan beliau menerima dua saman berhubung isu pelalian setakat ini membabitkan kebenaran kanak-kanak menerima vaksin Covid-19.
Beliau berkata salah satu daripadanya diterima dari seorang peguam Asiah Jalil yang menamakan beliau dan juga Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebagai defendan.
“Si ibu ini juga telah menyaman suaminya kerana membawa anaknya divaksin,” katanya dalam sidang media di Hospital Sultanah NurZahirah di Terengganu hari ini.
Bagaimanapun Khairy tidak memperincikan saman keduanya yang hanya menamakan beliau sebagai defendan.
“Semua saman ini hanya ditujukan kepada saya selain Noor Hisham untuk kes pertama,” katanya.
Asiah mengemukakan saman pada awal Januari lalu berhubung pemberian dos penggalak vaksin kepada anak-anaknya yang berumur antara 12 dan 19 tahun.
Ibu kepada 10 orang anak itu pada masa berkenaan dilaporkan berkata, sama itu juga melibatkan dos pertama vaksin untuk anaknya yang berumur antara lima dan 11 tahun.
Khairy juga berkata, sekatan masih dikenakan ke atas golongan tanpa vaksin lengkap biarpun Prosedur Operasi Standard (SOP) dilonggarkan sewaktu negara beralih ke fasa pandemik.
Tambahnya, penguatkuasaan lemah di lapangan tidak bermaksud syarat dalam SOP ke atas golongan tanpa vaksin itu tidak lagi terpakai.
“Sekatan masih lagi ada kepada mereka yang masih belum terima vaksin. Masih ada syarat tertentu dalam SOP cuma soal laksana atau tidak ia soal di lapangan.
“Tapi jika tiada vaksinasi lengkap mereka masih tak boleh makan di kedai, ke pusat belah atau buat pengembaraan ke luar negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Sekatan itu juga meliputi halangan merentas negeri, yang tetap berkuatkuasa selepas sempadan negeri dibuka pada Oktober.
Bagaimanapun sejak itu, tiada laporan mengenai tindakan ke atas individu yang melanggar ketetapan tersebut.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula mengulangi pendiriannya membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri
Beliau turut meminta orang ramai untuk terus melakukan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April. – 16 April, 2022.