Iklan

MoU dengan kerajaan terpakai hingga Parlimen bubar, kata Fahmi

Chan Kok Leong3 years ago17th Apr 2022Berita
Fahmi fadzil
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan berkuatkuasa daripada tarikh ia ditandatangani dan hendaklah terpakai sehinggalah Parlimen dibubarkan, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2022.
Iklan

MEMORANDUM Persefaham (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) terpakai sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen, kata Fahmi Fadzil.

Justeru, tidak timbul isu sama ada MoU tersebut perlu diteruskan atau tidak, pengarah komunikasi PKR itu memberitahu The Malaysian Insight.

“Ini jelas disebut di bawah Klausa 2 MoU bahawa perjanjian ini berkuatkuasa daripada tarikh ia ditandatangani dan hendaklah terpakai sehinggalah Parlimen dibubarkan.

“Jadi tidak timbul isu sama ada MoU perlu dilanjut atau tidak,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan gesaan Umno supaya kerajaan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak meneruskan MoU dengan PH sama sekali tidak berasas.

Katanya, MoU menyebut Putrajaya dan PH telah bersetuju Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

“Kalau Umno terdesak sangat mahu pilihan raya diadakan awal, maka arahan patut ditujukan kepada Ismail Sabri, bukan kerajaan,” ujarnya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Khamis memutuskan untuk tidak meneruskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan  PH selepas 31 Julai ini. MKT juga sebulat suara memutuskan Ismail Sabri  menjadi calon perdana menteri pada PRU15.

Ismail Sabri sehari kemudian berkata sebagai naib presiden Umno beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat MKT untuk tidak meneruskan MoU. – 17 April, 2022.     

Iklan
Iklan