Penduduk TTDI bantah cadangan pembangunan atas tapak tadika
Iklan
PENDUDUK Taman Tun Dr Ismail (TTDI) membantah cadangan pembinaan bangunan pejabat tujuh tingkat di Jalan Lorong Sulaiman, menggantikan sebuah tadika.
Timbalan Presiden Persatuan Penduduk TTDI, Clinton Ang berkata mereka akan segera mengemukakan bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sekarang ini kami sedang menyelaraskan bantahann dan bercadang untuk mengadakan mesyuarat bersama ahli berhubung perkara ini,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Pambangunan dua bangunan pejabat tujuh tingkat dengan dua tingkat parkir kereta bawah tanah itu dicadangkan dibina di atas tapak sebuah tadika. DBKL akan menerima bantahan ke atas projek yang dicadangkan itu hingga 15 Februari.
“Taman Tun dikepung. Sebenarnya ada beberapa lagi permohonan pembangunan.
“Kami ada pelan lama yang diwartakan untuk kawasan itu dan kawasan ini bukan untuk kegunaan komersial,” kata Ang.
Menurutnya lagi, jika projek pembangunan komersial itu diteliti, kawasan itu akan mengalami kesesakan lalu lintas.
“Sudah ada tadika dan masjid dekat sini dan pengunjung Taman Lembah Kiara yang menyesakkan jalan pada hujung minggu,” katanya.
Seorang penduduk TTDI, Susan Tam, mengkritik DBKL yang kurang telus dalam memaklumkan kepada penduduk mengenai projek yang akan dibina di Lorong Sulaiman 1.
Kata Susan, kebanyakan penduduk hanya mengetahuinya melalui gambar papan notis mengenai projek itu yang dikongsi di kumpulan media sosial tertutup penduduk di situ.
“Satu lagi blok pejabat di tengah-tengah kawasan kediaman, memang tak masuk akal. Kepadatan kawasan ini tidak dinilai dengan betul.
“Iklan mengenai pembangunan yang dicadangkan itu ada dalam surat khabar dan media sosial.”
Notis mengenai projek itu menyebabkan penduduk memfailkan bantahan sebelum hujung bulan ini.
Ia juga menyebut iklan mengenai pembangunan itu akan disiarkan di media arus perdana mulai 13 hingga 15 Februari.
Penduduk TTDI baru-baru ini mengheret DBKL ke mahkamah bagi menghentikan projek pembangunan besar-besaran di Taman Rimba Kiara.
Jun lalu, DBKL telah meluluskan pembangunan blok perumahan mampu milik 29 tingkat (350 unit) dan lapan blok pangsapuri mewah (42 hingga 54 tingkat, 1,766 unit) di atas tanah 4.86 hektar di Taman Rimba Kiara yang ditandakan sebagai ruang terbuka awam di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.
Bagaimanapun, Disember lalu, Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan penduduk TTDI dan memerintahkan membayar RM10,000 kepada setiap responden - DBKL, pemilik tanah Yayasan Wilayah Persekutuan, pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd dan Persatuan Penduduk Sunderam. – 13 Februari, 2018.