Iklan

Kumpulan hak asasi kecam gangguan polis terhadap aktivis Sarawak

Desmond Davidson3 years ago17th Apr 2022Berita
49934858356 7d324ef091 c
Menurut kumpulan hak asasi manusia Sarawak, siasatan polis adalah menghina pengakuan Mahkamah Rayuan 2019 berhubung rakyat mempunyai hak kebebasan bersuara dan mungkin menyatakan pendapat tentang rungutan politik tanpa tindakan balas rasmi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2022.
Iklan

DUA kumpulan hak asasi manusia Sarawak mengecam tindakan polis “menyoal siasat” ahli politik pro-kemerdekaan Voon Lee Shan. Menurut mereka ia adalah “gangguan berterusan polis terhadap aktivis politik dan nasionalis tempatan”.

Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Dominique Ng dan Kumpulan Hak Asasi Sabah Sarawak di Australia & New Zealand (SSRANZ) Robert Pei, berkata siasatan polis adalah pelanggaran serius garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai prosedur operasi standard (SOP) polis di negara demokrasi.

Mereka juga berkata siasatan polis adalah menghina pengakuan Mahkamah Rayuan 2019 berhubung rakyat mempunyai hak kebebasan bersuara dan mungkin menyatakan pendapat tentang rungutan politik tanpa tindakan balas rasmi.

Hak ini diputuskan Mahkamah Tinggi Borneo dalam kes pembatalan pendaftaran SAPA.

Siasatan polis terhadap Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon adalah yang keempat sejak Disember tahun lalu.

Voon kemudiannya berkata beliau sedang disiasat atas dakwaan mengancam ketenteraman awam berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 18 Mac mengenai hak rakyat untuk menyaman pihak bertanggungjawab menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mungkin menimbulkan masalah dan pertikaian.

Ng, seorang peguam kanan di Kuching manakala Pei, seorang pengamal undang-undang di Australia, berkata pembacaan mereka terhadap kenyataan Voon “tidak mendedahkan ia mengandungi sebarang ancaman kepada ketenteraman awam atau menyebabkan sebarang pelanggaran keamanan”.

“Malah, alasan yang disebut dalam sesi soal siasat itu tidak berkaitan dengan pendapat undang-undang Voon bahawa orang boleh menyaman isu MA63 yang merupakan perkara sivil,” tambah mereka.

Ng dan Pei berkata dalam satu kenyataan bahawa polis “tidak mempunyai sebarang bukti membabitkan tindakan mengancam ketenteraman awam, keamanan atau keselamatan dan mereka hanya mencari bukti”.

Mengenai garis panduan PBB berkaitan piawaian dan amalan hak asasi manusia, Ng dan Pei berkata perkara tersebut telah dilanggar “oleh laporan polis bermotifkan politik yang dibuat terhadap ahli politik pembangkang”. – 17 April, 2022.

Iklan
Iklan