Individu berisiko tinggi Sarawak boleh ambil dos penggalak kedua mulai Jumaat, kata Uggah
Iklan
MULAI Jumaat ini Sarawak akan memberikan suntikan penggalak Covid-19 kedua kepada penduduk berumur 60 tahun ke atas yang komorbiditi berisiko tinggi serta individu imun lemah berusia 12 tahun ke atas.
Timbalan Premier Douglas Uggah ketika mengumumkan kempen vaksinasi baharu hari ini berkata individu yang tergolong dalam kumpulan ini boleh mendapatkan suntikan mereka di klinik kerajaan, hospital swasta dan klinik yang telah ditetapkan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).
Uggah, yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri, merayu golongan berisiko tinggi menghubungi PPV masing-masing dan membuat temu janji.
Beliau berkata setakat semalam, seramai 1,879,748 atau 91 peratus dewasa Sarawak berumur 18 tahun ke atas telah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 275,699 atau 92.6 peratus, telah menyelesaikan dua dos manakala kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun, seramai 84,677 atau 38 peratus sudah mendapat dos pertama.
Bagi dos penggalak, Uggah berkata seramai 1,637,167 atau 90 peratus daripada mereka yang layak telah mendapat suntikan.
Beliau kini menggesa baki 181,589 penduduk yang belum mendapat suntikan segera mendapatkannya. – 20 April, 2022.