PRS capai kata sepakat isu jawatan presiden
Iklan
KONFLIK siapa harus menerajui Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang berlarutan selama berminggu-minggu selesai selepas pimpinan majlis tertinggi parti semalam mencapai kata sepakat untuk melantik Joseph Salang Gandum sebagai presiden.
Jawatan tersebut kosong susulan kematian penyandangnya James Jemut Masing Oktober tahun lepas.
Pelantikan Salang diumumkan Setiausaha Agung PRS Janang Bungsu pada sidang media semalam.
Salang yang juga bekas ahli Parlimen Julau sebelum ini adalah timbalan presiden PRS dan memangku jawatan presiden susulan kematian Masing.
Janang pada sidang media semalam dilaporkan berkata, kata sepakat mengenai barisan kepimpinan hanya dapat dicapai selepas pengorbanan peribadi yang besar dilakukan Naib Presiden John Sikie Tayai dan Salang.
Sikie yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden bersetuju untuk menarik diri, sekali gus menerima jawatan lain yang dicapai menerusi kesepakatan, kata Janang dipetik media.
Sikie katanya menawarkan diri untuk menerima jawatan yang lebih rendah dalam barisan konsensus walaupun telah menerima banyak pencalonan untuk jawatan presiden parti.
Mengulas perkembangan ini, penganalisis politik Jayum Jawan bagaimanapun berkata Sikie sepatutnya tetap dengan keputusan asalnya untuk bertanding merebut jawatan presiden.
“Pertandingan adalah cara untuk memlilih siapa yang terbaik untuk memimpin.
“Menafikan demokrasi menidakkan peluang pemimpin untuk menonjolkan diri dan menawarkan khidmat mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 22 April, 2022.