'Sia Sitok Sarawak' selamatkan pelancongan negeri, kata pemain industri
Iklan
DATANYA mungkin tidak besar tetapi kempen pelancongan dalam negeri “Sia Sitok Sarawak” dipuji sebagai satu kejayaan dan penyelamat kepada sektor ekonomi yang paling terjejas di negeri itu.
Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Audrey Wan Ullok berkata walaupun pengunjung tidak berada di tahap prapandemik tetapi secara keseluruhannya ia berpendapat kempen itu berjaya.
STF menguruskan kempen itu bagi pihak Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Ullok, seorang pengusaha hotel, memberitahu The Malaysian Insight yang STF berasa ketiga-tiga program Sia Sitok yang dilancarkan sehingga kini berjaya.
“Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perjalanan dalam negeri dan oleh itu mewujudkan peluang perniagaan untuk ejen pengendalian tempatan, pemandu pelancong, pengendali pengangkutan dan lain-lain (dalam industri) yang terjejas semasa pandemik.”
Beliau berkata memandangkan pelancong asing termasuk penduduk dari Semenanjung dan Sabah tidak dapat datang ke Sarawak kerana negeri itu menutup sempadannya bagi membendung penularan Covid-19, maka kempen itu adalah untuk menarik rakyat Sarawak untuk menerokai keistimewaan destinasi setempat yang ada.
Tarikannya ialah pakej pelancongan bersubsidi sehingga 50% oleh kerajaan negeri.
Kempen Sia Sitok yang menyaksikan kerjasama antara STB dan STF, menawarkan puluhan tarikan, lawatan dan aktiviti menarik di seluruh negeri.
Kempen ini termasuk lawatan sehari dan beberapa hari dengan penginapan serta makanan.
“Ada sesuatu untuk semua orang,” kata laman web STF.
Kempen pertama, Sia Sitok Sarawak 1.0 yang dilancarkan pada 15 Julai 2020, menarik 5,656 orang untuk 942 lawatan.
Lawatan paling popular mengikut tempahan dan bilangan orang ialah menaiki bot menyusuri Sungai Sarawak sambil melihat matahari terbenam dengan 531 tempahan sehingga kempen berakhir pada 31 Mac tahun lepas.
Ini diikuti dengan lawatan berkayak Padawan dan ke taman negara Gunung Mulu, yang mempunyai beberapa sistem gua terbesar di dunia.
Memandangkan pengembara perlu terbang untuk sampai ke taman negara yang terletak jauh di pedalaman bahagian Miri di utara Sarawak, pakej pelancongan Mulu mengungguli menjana pendapatan paling banyak sebanyak RM302,278.
Pakej pengembaraan aktiviti luar seperti berkayak di Padawan, ke air terjun Kampung Sting di Bengoh yang terletak di luar Kuching serta pengalaman bermalam juga popular, menurut rekod STF.
Aktiviti kayak sungai di Padawan menjana RM100,100.
Dalam program 2.0 yang dilancarkan pada 1 April tahun lepas, jumlah orang yang mendaftar meningkat kepada 6,363 orang.
Jumlah lawatan yang ditempah juga meningkat kepada 861.
Aktiviti luar menjadi tarikan dalam kempen kedua ini dengan lawatan paling popular - melalui tempahan adalah sehari memancing di Miri (183 tempahan), lawatan sehari ke Borneo Tropical Rainforest Resort (159) dan menyelam di Miri (126).
Lebih 1,500 mengikuti pakej memancing berjaya menjana pendapatan RM413,184.
Dengan sekatan perjalanan ditarik balik dan sempadan dibuka semula pada 1 April, Sia Sitok Sarawak 3.0 yang beroperasi dari 1 Mac hingga 31 Mei tahun ini mengalami sedikit penurunan dengan bilangan orang yang mendaftar menurun sebanyak 50% kepada 3,615.
Ullok berkata mereka yakin kempen itu dan Sia Sitok 4.0 sedang dalam perancangan bagi September atau Oktober.
Beliau berkata kempen itu memperuntukkan bajet sebanyak RM1 juta. – 24 April, 2022.