Iklan

Banteras rasuah dengan ubah sistem nilai

Chan Kok Leong3 years ago26th Apr 2022Berita
Nurhayati nurdin rasuah busters tmikamal 03
Ketua Eksekutif Rasuahbusters Nurhayati Nordin berkata perubahan dasar sahaja tidak semestinya diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Arifin, 26 April, 2022.
Iklan

TERDAPAT banyak usaha memerangi rasuah sejak terbongkar skandal pembelian kapal selam Scorpene dan 1Malaysia Development Bhd lebih sedekad lalu.

Ketika usaha ini memuncak dalam perubahan dasar, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M) terus merosot.

Daripada paras terendah 51 dan 53 mata pada 2020 dan 2019, Malaysia hanya mencatatkan 48 mata pada tahun lepas, menyebabkan negara jatuh lima lagi kedudukan kepada 62 daripada 180 negara.

Bagaimana ia berlaku?

Ketua Eksekutif Rasuahbusters Nurhayati Nordin berkata satu puncanya ialah perubahan dasar sahaja tidak semestinya diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku.

“Kita perlu menilai semula nilai di Malaysia dan di Rasuahbusters, kami percaya perlu ada persefahaman lebih baik di kalangan orang ramai. 

“Hanya dengan pemahaman yang baik ia akan diterjemahkan kepada tindakan,” kata Nurhayati di pejabatnya di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Nurhayati yang melepaskan kerjaya dalam bidang undang-undang untuk menggalas jawatan ini berkata rakyat di  perlu memahami mengapa rasuah tidak sihat dan tidak produktif bagi membolehkan perubahan berlaku.

“Terdapat banyak perubahan dalam undang-undang dan dasar, tetapi selagi akar umbi tidak mengambil bahagian, sukar untuk menghapuskan rasuah,” tambahnya.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada perkara ini dari perspektif nilai dan bukannya aspek undang-undang.”

Memetik kes pemilikan saham Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam syarikat tersenarai awam baru-baru ini, Nurhayati berkata: “Secara sah, beliau mungkin tidak salah, tetapi adakah itu beretika?”

Beliau berkata terdapat banyak bentuk rasuah dan Rasuahbusters bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai bentuk rasuah.

“Ia bukan hanya wang. Mungkin ada jawatan, pilih kasih, nepotisme dan lain-lain. Dan kita perlu mengiktiraf aspek yang berbeza ini untuk memerangi rasuah dengan berkesan.”

Pendekatan dari bawah ke atas

Sebelum kemunculan Rasuahbusters, kebanyakan aktivisme antirasuah Malaysia memfokuskan bandar dan berkisar pada penambahbaikan dasar antirasuah.

Walaupun Nurhayati percaya itu penting, ia memerlukan gelombang besar untuk memenangi perjuangan menentang rasuah.

“Kerja dasar adalah penting dan rakan-rakan kami dalam TI-M (Transparency International), C4, Ideas dan lain-lain sudah melakukan kerja yang sangat baik dalam mendesak undang-undang antilompat parti dan mereformasi SPRM.

“Dalam aspek ini, kita cuba melengkapi mereka dengan mengumpulkan lebih 500 pertubuhan lain dalam satu gabungan memerangi rasuah.

“Tetapi sementara ia berlaku di barisan hadapan, kita juga mesti turun ke akar umbi,” tambahnya.

Salah satu perbezaan antara Rasuahbusters dengan NGO lain ialah keupayaan mereka sampai kepada rakyat yang tinggal di luar kawasan bandar.

Rasuahbusters yang bermula pada 2021 adalah cetusan idea pemilik Karangkraf dan penerbit Sinar Harian Hussamuddin Yaacub. 

Menggunakan platform Karangkraf, Rasuahbusters dapat menyebarkan mesejnya kepada pasaran Melayu dan luar bandar melalui ruangan tetap.

“Di samping menganjurkan forum di bandar, kami juga mengadakan konvoi ke kampung-kampung untuk menerangkan usaha memerangi rasuah. Di kampung misalnya, kami meminta ketua kampung membawa penduduk dari pelbagai kampung lain untuk mendengar ceramah kami,” kata ibu kepada enam anak ini.

“Di sana kami menerangkan bagaimana rasuah menjejaskan kehidupan seharian mereka seperti bagaimana wang yang diambil boleh digunakan untuk kemudahan pendidikan, perubatan dan pembangunan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.

Ramai penduduk di luar kawasan bandar tidak nampak bagaimana rasuah secara tidak langsung memberi kesan kepada mereka.

“Ada yang berpendapat ‘kabel’ mereka akan menyelamatkan mereka. Tetapi rasuah benar-benar menghalang keupayaan mereka bagi mobiliti sosial,” katanya.

Selain aktiviti luar bandar, Rasuahbusters juga menyasarkan pelajar universiti, sekolah dan juga khutbah Jumaat. Selain ceramah, Rasuahbusters bercadang untuk menjalankan pertandingan di sekolah.

“Setakat ini, Perak, Selangor, Sarawak dan Perlis sudah menandatangani. Dan dengan itu kita masukkan mesej antirasuah ke dalam khutbah Jumaat,” kata Nurhayati.

“Melalui kaedah yang berbeza ini, kami berharap dapat memupuk rasa betul dan salah.”

Sementara banjir pada Disember menjejaskan ramai orang, Nurhayati berkata ramai mula memahami kaitan antara isu majlis tempatan dan bencana “tidak begitu semula jadi”.

“Kami menjelaskan yang banjir disebabkan hujan lebat, kutipan sampah yang teruk dan pembangunan yang menjejaskan hutan dan sungai menjadikan banjir lebih teruk.

“Dan ini adalah sesuatu yang boleh difahami oleh ramai orang.”

Masih jauh lagi perjalanan sebelum Malaysia boleh memenangi perjuangan membanteras rasuah, kata Nurhayati.

“Tetapi dengan perubahan nilai, kami berharap toleransi terhadap rasuah akan berkurangan.” – 26 April, 2022. 

Iklan
Iklan