Iklan

Khemah besar rugikan Pakatan, kata ahli Parlimen PKR

Chan Kok Leong2 years ago30th Apr 2022Berita
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) akan kehilangan lebih ramai penyokong teras jika pendekatan “khemah besar” digunakan pada pilihan raya umum akan datang, kata Chang Lih Kang.

“Ini kerana ideologi PH dan Perikatan Nasional (PN) amat jauh berbeza,” kata ahli Parlimen Tanjung Malim itu kepada The Malaysian Insight.

“Jika ia semudah itu atau demi kuasa, PH juga boleh bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” tegas Chang.

Chang, yang mengintai satu daripada empat slot naib presiden pada pemilihan PKR, menjelaskan satu daripada perbezaan utama antara pendekatan politik pasukan Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi, yang kembali ke dunia politik, bertanding menentang Saifuddin bagi merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Ketika Rafizi menolak kerjasama pilihan raya dengan PN, Saifuddin mahu memikirkan pilihan berikutan kekalahan besar pada pilihan raya Melaka dan Johor baru-baru ini.

Dalam dua pilihan raya negeri itu, BN menguasai semula dengan majoriti dua pertiga walaupun memenangi kurang daripada separuh undi ketika PN dan PH turut bersaing antara satu sama lain.

Oleh itu, ramai pemerhati, termasuk Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, mendekati parti bukan BN untuk membentuk satu lagi pakatan bagi menafikan gabungan pimpinan Umno itu.

Kecuali Saifuddin, yang lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng daripada DAP menolak sebarang hubungan rasmi dengan PN selepas Muhyiddin “mengkhianati” PH menerusi Langkah Sheraton pada 2020.

“Saya terpaksa menolak perkara ini sebagai bekas Adun Perak yang pernah melihat PH dikhianati dua kali (2009 dan 2020),” kata Chang, yang pernah menjadi Adun Teja pada 2008 dan 2013.

Beliau berkata, ia kesilapan yang tidak boleh diulangi mereka selepas apa yang berlaku pada 2020.

Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang menolak kerjasama dengan Perikatan bagi menghadapi PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 April, 2022.

Tidak boleh pindah milik

Ketika mereka dijangka kehilangan penyokong teras mereka, Chang juga tidak percaya penyokong PN dan PN “boleh berpindah milik”.

“Bolehkah penyokong PAS mengundi calon Amanah selepas apa yang berlaku antara kedua-dua parti itu? Atau adakah pengundi PH boleh mengundi calon PN?

“Saya tidak fikir ia boleh. Ini berbeza dengan 2013 apabila Pakatan Rakyat memasukkan PAS. Satu campur satu dalam politik tidak semestinya dua,” kata naib presiden PKR itu.

Mengimbas kembali pilihan raya negeri Johor, Chang berkata, hilangnya keyakinan bukan dalam kalangan PKR sahaja.

“Secara keseluruhan, kami kehilangan sedikit cahaya sejak 2018 apabila kami memenangi pilihan raya umum. Saya percaya Rafizi mempunyai apa yang diperlukan untuk memulihkannya bukan sahaja untuk PKR tetapi buat PH juga.”

Mengulas lanjut mengenai Johor, Chang berkata PKR dan PH sama-sama kehilangan margin yang besar.

“Perbezaannya DAP mempunyai margin 10,000 undi untuk dipertahankan berbanding kami.”

Di Bukit Batu contohnya, Chang berkata, PKR menang dengan hanya 137 undi walaupun meraih margin 10,057 pada 2018.

“Tetapi Muda dan DAP juga mempunyai masalah yang sama di Puteri Wangsa dan Perling.”

Di Puteri Wangsa, Muda menang dengan 7,114 undi berbanding margin 24,959 undi PH manakala DAP memenangi Perling dengan 3,347 undi berbanding margin 19,533 undi pada 2018.

“Ini satu kemerosotan lebih daripada 10,000 undi,” kata Chang.

Ketika kerjasama dengan PN mungkin mampu meningkatkan undian beberapa kerusi, Chang berkata ia mungkin tidak menghasilkan kemenangan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia mungkin menyaksikan kami kehilangan lebih banyak undi.” – 30 April, 2022.

Iklan
Iklan