Iklan

Sarawak sasar kehadiran lebih ramai pelancong Singapura

Desmond Davidson2 years ago2nd May 2022Berita
49934858356 7d324ef091 b (2)
Sarawak menyasarkan untuk mempromosikan negeri itu secara agresif di Singapura bagi menggalakkan pelancaong repbulik itu melawat negeri berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2022.
Iklan

KETIBAAN pelawat ke Sarawak dari Singapura mencatat angka terendah tahun lalu dengan hanya 182 orang yang kebanyakannya diplomat yang datang pada pilihan raya negeri Disember lepas selain menjalankan tugas rasmi lain, menurut angka dari Jabatan Imigresen negeri.

Negeri itu yakin sekali lagi boleh menarik pelancong dari republik itu berdasarkan statistik lepas yang menunjukkan purata pertumbuhan pelawat dari Singapura antara 2016 dan 2019 pada 2.38%.

Dari tahun ke tahun pertumbuhan pada 2017 adalah 4.89% daripada 40,209 pengunjung pada 2016 kepada 42,177.

Pada 2018 pertumbuhan sedikit lebih rendah pada 3.69% dengan 43,734 tetapi meningkat kepada 7.04% dengan 48,312 ketibaan pada tahun berikutnya.

Pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 dan sekatan perjalanan menyaksikan ketibaan dari republik itu menurun dengan mendadak sebanyak 84.27% kepada lebih 7,000 pengunjung.

Ini semakin berkurangan kepada hanya 182 tahun lepas, menurut angka jabatan yang diperoleh The Malaysian Insight.

Semalam Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Abdul Karim Hamzah berkata Sarawak akan sekali lagi memasarkan negeri itu secara “agresif” di Singapura.

“Kita akan kembali mempromosikan negeri secara agresif di Singapura,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi mengalu-alukan penerbangan AK 1776 dengan muatan penuh 180 penumpang.

Acara itu menandakan pengembalian semula penerbangan harian Singapura - Kuching berikutan wabak berkenaan.

Menteri negeri itu berkata penyambungan semula penerbangan antarabangsa ke Sarawak dibuat pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancong dan penduduk tempatan di Sarawak.

Sempadan negara dibuka semula, banyak sekatan perjalanan dilonggarkan dan 90% daripada kekerapan penerbangan pra-pandemik dipulihkan.

Dolar Singapura juga kukuh berbanding ringgit Malaysia yang menarik minat pelancong dari negara kota itu untuk melawat Sarawak.

Menurut akaun satelit pelancongan kementerian Karim untuk 2018 majoriti rakyat Singapura adalah “pelancong belia” yang purata tempoh penginapannya adalah tiga hari dengan purata perbelanjaan RM2,445.99.

Lebih 76% daripada mereka datang untuk bercuti, melawat rakan atau saudara mara, menurut maklumat kementerian.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkata berdasarkan penyelidikan pasaran Singapura yang dijalankan pada 2021 rakyat Singapura gemar melawat dan merasai makanan asli negeri itu.

Ini diikuti dengan lawatan pantai, lawatan matahari terbenam dan bakau, lawatan hidupan liar, lawatan ke taman negara dan mendaki gunung.

STB berkata pelawat dari republik itu suka “menyelami budaya tempatan dan meneroka gaya hidup (tempatan).

Singapura merupakan pasaran penting sehingga Sarawak pada 2019 membuka pejabat perdagangan dan pelancongan Singapura (Statos) di sana bagi mempromosikan negeri itu.

Singapura bukan satu-satunya negara sasaran Sarawak.

Karim berkata Sarawak juga akan mempromosikan dan memasarkan negeri mereka di Jerman dan Belanda bulan depan. – 2 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan