Iklan

Restoran di Johor hilang tenaga kerja kepada Singapura

Angie Tan2 years ago4th May 2022Berita
Restaurant johor
Ramai rakyat Malaysia lebih suka bekerja di Singapura yang menawarkan gaji lebih tinggi, menyebabkan restoran-restoran di Johor kurang pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2022.
Iklan

RESTORAN di Johor kehilangan 20% tenaga kerja mereka kepada Singapura kerana rakyat Malaysia tertarik ke republik itu yang menawarkan gaji lebih tinggi, kata pakar industri.

Dolar Singapura yang didagangkan pada RM3.15 menarik minat ramai rakyat Johor yang ingin mencari rezeki lebih lumayan.

Presiden Johor Kitchen Association Ang See Kiong memberitahu The Malaysian Insight sebaik sahaja perjalanan darat antara Singapura dan Malaysia dibuka semula pada 1 April selepas penutupan selama dua tahun, rakyat Malaysia serta-merta tertarik dengan pekerjaan di Singapura.

Restoran khususnya mengalami kehilangan buruh sebanyak 20% apabila tukang masak atau cef meletak jawatan.

“Untuk mengekalkan pekerja, kami perlu menyesuaikan gaji cef tempatan dan memberi mereka kenaikan pangkat kerana gaji semasa tidak mencukupi untuk mereka hidup,” kata Ang.

Walaupun ramai yang mencari pekerjaan di Singapura, rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu selama dua tahun pulang ke rumah untuk bekerja di dalam negara.

“Sesetengah cef memutuskan untuk kekal di sini selepas pulang. Walaupun gaji di Singapura jauh lebih tinggi, di sini mereka tidak perlu bekerja secara berterusan dan mereka boleh meluangkan masa bersama keluarga.”

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kopi, Restoran dan Bar Johor Baru Tiong Kiu Wong berkata kedai kopi kehilangan pencuci pinggan dan pelayan apabila ramai memilih untuk mencari pekerjaan di Singapura.

Bagaimanapun, kehilangan pekerja itu tidaklah terlalu teruk, katanya.

“Memandangkan kami beransur pulih, kehilangan pekerja ini agak memeningkan kepala kerana sesetengah daripada kami kini mengalami kekurangan tenaga kerja, tetapi kami masih boleh menanganinya.”

Tiong berkata, penghijrahan itu satu perkara biasa kerana setiap orang mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik.

“Perniagaan tempatan yang menunjukkan prestasi baik melaraskan gaji mereka dengan harapan dapat mengekalkan kakitangan mereka.”

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru Low Kueck Shin berkata, walaupun terdapat rakyat Malaysia yang berlepas ke Singapura, ia tidak begitu serius.

“Orang muda terutamanya akan mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik di Singapura, tetapi keadaan di Johor tidaklah teruk.

“Setiap orang mempunyai idea berbeza, ada yang berpendapat lebih baik tinggal di Malaysia dan berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM5,000. Mungkin lebih baik tinggal di dalam negara kerana anda tidak perlu membayar pelbagai perbelanjaan di Singapura,” katanya.

Bagaimanapun, pengusaha masih bimbang mereka akan kehilangan pekerja mereka.

“Sempadan baru sahaja dibuka, orang ramai masih tunggu dan lihat jika ada sebarang perubahan.”

Minggu lalu, dolar Singapura mencecah paras tertinggi sepanjang zaman pada kadar 3.1688 berbanding ringgit.

Menurut data Bloomberg, paras tertinggi sebelum ini pada 31 Mac 2017, apabila dolar meningkat kepada RM3.1650. – 4 Mei, 2022.

Iklan
Iklan