Peluang kedua untuk rumah pangsa San Peng
Iklan
SATU ketika dulu, ia menjadi lokasi jenayah dan penyalahgunaan dadah, tetapi kini rumah pangsa Sri Selangor di tengah ibu kota mula berubah, dengan adanya peningkatan kehadiran polis, klinik pemulihan dalam kawasan dan usaha masyarakat setempat untuk menjauhkan golongan muda daripada pengaruh negatif.
Hafiz Mohd Nadzri yang membesar di situ, berkata ketika zaman kanak-kanaknya, dia biasa melihat penagih dadah menagih pada siang hari.
Hafiz, kini 25 tahun dan bekerja sebagai pembantu penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, serbuan pihak berkuasa menjadi pemandangan biasa di situ.
Tetapi, keadaan sudah berubah sejak sedekad lalu di kawasan perumahan pangsa tertua di Kuala Lumpur itu, yang turut dikenali sebagai “flat San Peng”, susulan ramainya polis berpakaian biasa ditempatkan di situ untuk mengadakan pemeriksaan mengejut.
“Selepas 2009, saya perasan aktiviti dadah di sini jadi lebih tersembunyi. Saya masih ingat lagi, ketika berusia 8 tahun, saya biasa lihat penagih dadah dimasukkan dalam trak polis.
“Penyalahgunaan dadah sangat berleluasa pada masa lalu. Ada sesetengah penagih dan pengedar adalah penduduk di sini tetapi ada juga orang luar,” kata Hafiz kepada The Malaysian Insight.
Enam blok rumah pangsa Sri Selangor dibina pada 1972 sebagai salah satu projek perumahan rakyat terawal di Kuala Lumpur. Rumah pangsa Tunku Abdul Rahman atau flat Pekeliling yang dibina antara 1964 dan 1967, kini dirobohkan.
“Walaupun San Peng kawasan dadah di Kuala Lumpur, keadaan sudah berubah sejak 10 tahun lalu. Orang ramai sudah tidak boleh kata rumah pangsa kami sebagai sarang dadah lagi,” kata penduduk, Mustapa Hamat, 71, yang menghuni kawasan itu sejak 1975.
Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Selangor Norzaimi Shamsuri berkata pengurangan masalah dadah di kawasan itu atas bantuan balai polis Kenanga yang berpangkalan di rumah pangsa itu.
“Kami desak polis tambah anggota mereka, terutama yang berpakaian biasa, untuk meronda di sini. kemudian perubahan mula berlaku.
“Salah satu sebab San Peng pernah menjadi sarang dadah kerana ada banyak pintu masuk ke kawasan ini, terdapat lapan pintu masuk,” kata Norzaimi.
Persatuan penduduk juga melakukan pelbagai inisiatif untuk memerangi gejala sosial, seperti memperkenalkan klinik futsal dan bola jaring untuk remaja, selain kelas belajar kompang.
“Kami terpaksa buat supaya remaja di sini tidak melepak tidak tentu hala. Ini cara kami hendak jaga kanak-kanak dan remaja di kawasan ini,” katanya.
Berdepan dengan masalah
Rumah pangsa San Peng juga menempatkan pusat khidmat pemulihan dan penjagaan (CCSC), satu pusat yang dikendalikan oleh Agensi Antidadah Negara (AADK) sejak 2011. Ia salah sau daripada lima pusat yang dikendalikan oleh AADK di Kuala Lumpur, di lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat tumpuan penagih dadah, seperti Kerinchi dan Chow Kit.
AADK juga membuka klinik methadone di kompleks komersial di rumah pangsa itu, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Koordinator CCSC San Peng, Kamal Jusoh berkata pusat itu bukan saja memberi khidmat kepada penagih di kawasan itu, tetapi turut membantu penagih dari kawasan lain.
“Pada masa ini kami ada lapan pesakit, jumlah yang maksimum. Pusat ini sentiasa penuh, kami tidak perlu mengadakan program outreach untuk mencari pesakit.
“Bagi klinik methadone, kami ada 76 pelanggan yang aktif. Kebanyakannya akan datang hampir setiap hari untuk mengambil methadone di bawah pemantauan ahli farmasi kami,” kata Kamal.
Penggunaan methadone di bawah program terapi penggantian dadah Kementerian Kesihatan itu diperkenalkan pada 2005 untuk membendung ketagihan dan mencegah penularan penyakit, khususnya HIV/AIDS, memandangkan tidak membabitkan penggunaan jarum.
Ahli farmasi Nur Najwa Mohd Shohaime berkata methadone lebih selamat untuk penagih dadah yang mahu berubah dan diberikan di bawah pemantauan dan garis panduan ditetapkan oleh kementerian.
“Sesetengah pesakit dibenarkan membawa pulang dos mereka. Tetapi mereka akan dinilai oleh doktor dulu untuk memastikan mereka stabil, bertanggungjawab dan mematuhi kriteria,” katanya ketika ditemui di klinik methadone.
AADK juga mengadakan beberapa program pemulihan yang termasuk psikososial iaitu pemulihan awal dan pencegahan kembali menagih.
“Mereka yang datang ke sini, secara sukarela. Mereka boleh berada di sini antara sebulan hingga tiga bulan berdasarkan kepada pakej yang kami sediakan.
“Mereka seperti orang normal lain yang pergi kerja setiap hari, Cuma kami biasanya menasihati mereka untuk mencari pekerjaan yang akan menyebabkan mereka sangat sibuk, supaya tidak mudah terganggu dengan rakan atau pengaruh negatif,” kata Kamal.
Walaupun penyalahgunaan dadah tidak lagi berleluasa di kawasan rumah pangsa itu, timbul pula masalah lain seperti mencuri.
Retiree Jito Kaur, 80, yang menjual baju Punjabi dan sari di kompleks perniagaan di situ berkata, peniaga terpaksa berhati-hati.
“Ada penagih masih mencuri barang. Mereka akan perhatikan sama ada kedai itu ada orang jaga atau tidak,” katanya. – 15 Februari, 2018.