Iklan

Masih ada ibu bapa enggan beri anak vaksin Covid-19

Elill Easwaran2 years ago11th May 2022Berita
51870956156 f73370563d o (2)
Sebahagian ibu bapa yang teragak-agak membenarkan anak mereka diberikan vaksin Covid-19 berkata mereka bimbang kesan sampingan dialami kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.
Iklan

MASIH ada sebahagian ibu bapa yang teragak-agak untuk membenarkan anak mereka diberikan vaksin Covid-19, kerana bimbang dengan kisah kesan sampingan dialami kanak-kanak.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight vaksin itu juga tidak membantu kerana pihak berkuasa masih terus menambah jumlah dos vaksin.

Ada yang berkata sebelum ini mereka percaya hanya dua dos vaksin, tetapi kerajaan kemudiannya memperkenalkan dos penggalak dan memujuk semua orang mengambilnya.

Tetapi sebab utama mereka enggan anak divaksin ialah kerana ada banyak laporan berkenaan kesan sampingan terhadap kanak-kanak.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Steven, 32, berkata beliau masih belum bersedia membenarkan anak lelakinya berusia 14 tahun untuk divaksin.

“Jumlah kes baharu semakin berkurangan, jadi saya tidak begitu bimbang, berbanding tahun lalu.

“Tambahan lagi saya lihat banyak laporan tentang kesan sampingan dialami kanak-kanak, malah ada yang maut.

“Saya bimbang selepas membaca berita Revnesh Kumar yang tular,” katanya.

Steven merujuk kepada kes Revnesh, 13, yang meninggal dunia secara tiba-tiba selepas divaksin. Punca kematian tidak dapat disahkan, walaupun selepas bedah siasat.

Kes itu mendapat perhatian ramai selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bertemu ibu bapa Revnesh tetapi mereka tidak berpuas hati dengan hasil pertemuan itu, dengan ibu mangsa mendakwa kementerian cuba menolak kemungkinan anaknya mati kerana vaksin.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Ahmad Asyraf, 36, berkata beliau akan membawa anaknya untuk mendapatkan vaksin pada masa yang sesuai.

“Sebelum ini saya percaya pada vaksin hingga dos kedua, tetapi bila kerajaan suruh kita ambil dos ketiga, saya mulai tertanya-tanya,” katanya.

“Jika vaksin itu berkesan, kenapa kita perlu ambil sampai tiga dos? Ada kemungkinan kita akan disuruh ambil lagi satu dos.”

Ahmad berkata ada masalah rasa percaya dan yakin dalam keadaan ini dan beliau tidak sanggup meletakkan anaknya dalam risiko.

“Mungkin tahun depan bila saya yakin sepenuhnya yang vaksin itu selamat untuk anak perempuan saya, baru saya akan benarkan dia disuntik,” katanya. – 11 Mei, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan