Iklan

Kerusi Parlimen Bangi terbuka kepada semua, kata Anthony Loke 

Chan Kok Leong2 years ago11th May 2022Berita
Ong kian meng tmi 04
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti tidak mengehadkan calon pilihannya bagi kerusi Parlimen Bangi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mei, 2022.
Iklan

DAP bersikap terbuka dan tidak mengehadkan pilihannya bagi calon Parlimen Bangi hanya kepada Adun sedia ada, kata Anthony Loke.

“Tiada sekatan seperti itu. Calon yang berpotensi boleh jadi sesiapa sahaja kerana syarat untuk menjadi calon Parlimen sangat mudah.

“Selagi anda warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan ahli DAP, anda layak,” kata setiausaha agung DAP itu di Sungai Chua hari ini.

Loke, yang turut disertai Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, menjawab soalan sama ada calon Bangi seterusnya adalah daripada Adun DAP sedia ada di kawasan Parlimen itu.

Ong pada Isnin mengumumkan beliau tidak bercadang mempertahankan Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Kawasan Parlimen Bangi mempunyai tiga kerusi DUN - Sungai Ramal, Balakong dan Seri Kembangan. 

Kerusi Sungai Ramal disandang oleh Mazwan Johar daripada PKR manakala Balakong dan Seri Kembangan diwakili oleh Wong Siew Ki dan Ean Yong Hian Wah, daripada DAP.

Ong, yang merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pertama kali menang kerusi Serdang pada 2013 dengan menewaskan veteran MCA dan bekas ahli Parlimen Yap Pian Hon dengan mengundi 79,238 undi (67.98%).

Pada 2018, Ong mempertahankan kawasan Bangi yang lebih luas (dinamakan semula selepas persempadanan semula 2018) dengan menewaskan Liew Yuen Keong daripada MCA, Shafie Ngah daripada PAS dan Dennis Wan daripada PRM selepas mengundi 102,557 undi (65.6%).

DAP pertama kali menang kerusi Serdang pada pilihan raya umum tsunami 2008 selepas Teo Nie Ching menewaskan Hoh Hee Lee daripada MCA selepas menang 64.23% (47,444) undi.

Sementara itu, Loke menolak khabar angin lebih ramai ahli Parlimen DAP akan memilih untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang berikutan pengumuman Ong.

“Setahu saya, satu-satunya ahli Parlimen yang membuat pengumuman ini ialah Ong. Tiada pengumuman lain dibuat dan tiada keputusan lain oleh ahli Parlimen lain,” kata ahli Parlimen Seremban itu.

Bagaimanapun, beliau berkata akan ada calon baharu muncul dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam setiap pilihan raya, pasti ada calon baharu,” kata bekas menteri pengangkutan itu.

Loke berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua akan mengikut jejak Ong. – 11 Mei, 2022.

Iklan
Iklan