Kekurangan pekerja industri pelancongan selesai 2 bulan, kata Nancy
Iklan
INDUSTRI pelancongan memerlukan antara 15,000 hingga 20,000 pekerja dan kekurangan itu perlu diselesaikan dalam tempoh tidak lebih dua bulan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri hari ini.
Beliau berkata Kabinet telah meluluskan untuk membawa masuk tiga juta pekerja dan “kami kini dalam proses membawa mereka masuk”.
Kabinet meluluskan tiga juta pekerja untuk diambil dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh, tambahnya.
“Secara rasmi, kementerian saya telah mengemukakan perkara ini (masalah kekurangan pekerja) kepada Kabinet dan kerajaan sebenarnya sudah luluskan untuk membawa pekerja dari luar negara.
“Cuma buat masa ini perkara itu baru diluluskan dan harus melalui beberapa proses, kita perlu tunggu,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan Hari Raya kementeriannya di Kuching, Sarawak.
Beliau berkata dalam pada itu pelbagai sektor industri pelancongan, pengusaha hotel, kedai makanan dan minuman perlu mengurangkan masalah itu sebaik mungkin.
Nancy berkata warga asing dicari kerana warga tempatan didapati tidak lagi berminat untuk bekerja dalam industri pelancongan selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Pengusaha hotel ingin membawa mereka masuk dan mengisi jawatan kosong tetapi kerana Covid-19 telah membawa ketidaktentuan kepada industri, ramai yang menarik diri.
“Mereka takut untuk kembali bekerja. Mereka lebih suka keluar dan mencari pekerjaan alternatif,” katanya.
Selepas menetapkan sasaran sederhana dua juta ketibaan tahun ini Nancy berkata kementeriannya optimis untuk mencapai sasaran itu ketibaan yang direkodkan setakat ini sudah melepasi angka 500,000.
Nancy berkata salah satu usaha baharu kementeriannya ialah menyasarkan pengembara muda.
Beliau berkata sebelum ini ramai pengembara muda hanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi berbulan madu.
Usaha baharu itu adalah untuk menggalakkan pelancong muda ini berkahwin di negara ini dan berbulan madu di sini.
Pasaran India katanya adalah prospek yang baik kerana mereka sudah menunjukkan minat untuk melangsungkan perkahwinan di sini. – 14 Mei, 2022.