Iklan

BN boleh menang jika PRU15 diadakan tahun ini, kata Kian Ming

Chan Kok Leong2 years ago15th May 2022Berita
barisan nasional flag
Satu sebab utama BN boleh memenangi majoriti dua pertiga di Melaka dan Johor adalah kerana peratusan keluar mengundi rendah, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika ia diadakan tahun ini, kata ahli Parlimen daripada DAP Ong Kian Ming.

“Sekiranya pilihan raya diadakan pada Ogos atau September, BN pasti akan mendapat kelebihan. Mereka mungkin tidak memenangi dua pertiga tetapi majoriti mudah pasti.

“Ini ditunjukkan dalam pilihan raya Melaka dan Johor,” kata ahli Parlimen Bangi dan penganalisis pilihan raya ketika temu bual dengan The Malaysian Insight di pejabatnya di Kajang.

Ong berkata satu sebab utama BN boleh memenangi majoriti dua pertiga di Melaka dan Johor adalah kerana peratusan keluar mengundi rendah.

“Sementara ekonomi masih pulih dan pembukaan sempadan semakin perlahan, lebih banyak masa sebelum kita boleh kembali ke tahap pra-pandemik.

“Selagi rakyat tidak membiasakan diri dengan perjalanan semula dan kos masih tinggi, peratusan keluar mengundi akan terjejas,” kata Ong.

Tiga pilihan raya negeri lepas di Melaka, Sarawak dan Johor menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah dengan masing-masing merekodkan sebanyak 65.85%, 60.67% dan 54.92%.

Ini adalah penurunan cukup besar berbanding purata keluar mengundi sebanyak 82.32% pada 2018.

Justeru, Ong berharap pilihan raya umum akan ditangguhkan sehingga tahun depan.

“Masa tambahan itu akan memberi Pakatan Harapan (PH) lebih masa untuk bersatu semula selepas pemilihan DAP dan PKR. Ia akan membolehkan kami menyusun semula strategi dan melakukan jerayawara kami, mengumpul dana dan lain-lain.”

DAP mengadakan pemilihan parti bulan lepas manakala pemilihan PKR sedang berjalan, dengan keputusan akan disahkan pada Jun.

Jika pilihan raya umum diadakan tahun depan, Ong berkata ia juga akan membuka ruang kepada lebih banyak kebarangkalian kerana terdapat kemungkinan lebih kuat untuk parlimen tergantung (di mana tiada satu parti pun mempunyai majoriti mudah 112 ahli Parlimen).

“Jika pilihan raya diadakan tahun depan, ia lebih optimistik untuk PH. Kita mungkin tidak menang secara langsung tetapi wujud situasi di mana tiada siapa yang boleh menang secara langsung adalah lebih tinggi.

“Ini bermakna kami berada dalam kedudukan rundingan yang lebih baik.

“Oleh itu, undang-undang anti lompat parti adalah komponen penting kerana ia akan menunjukkan MoU itu mempunyai tujuan yang lebih besar. Jika ia lulus maka akan memberi peluang kepada kita untuk berunding dalam MoU 2.0.

“Tetapi saya juga akan mengatakan adalah menjadi tanggungjawab pemimpin PH menunjukkan hala tuju baharu bagaimana ia mahu mentadbir negara ini. Ini akan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa terdapat lebih banyak rancangan substantif yang disediakan.”

Isnin lalu, Ong yang merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Bangi pada pilihan raya umum akan datang. – 15 Mei, 2022.

Iklan
Iklan