Iklan

Pemimpin Umno ada 5 tahun selepas perlembagaan parti dipinda, kata Zahid

Chan Kok Leong2 years ago15th May 2022Berita
Umno perhimpunan agung khas tmi 09
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyuapkan kuih raya ke mulut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika majlis sambutan hari raya Umno, selepas tamat Perhimpunan Agung Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia hari ini. – Gambar oleh Nazir Sufari, 15 Mei, 2022.
Iklan

KEPIMPINAN Umno baharu akan diberi tempoh maksimum lima tahun untuk kekal pegang jawatan selepas perlembagaan parti dipinda, kata Ahmad Zahid Hamidi.

“Setelah pilihan raya umum selesai kelak, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih.

“Pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum 5 tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat. Pada masa yang sama kestabilan parti harus terpelihara bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum akan datang,” kata presiden Umno pada Perhimpunan Agung Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Zahid berkata demikian kepada 2,586 perwakilan Umno menjelang pengundian untuk meminda perlembagaan parti agar dapat menangguhkan pemilihannya selepas pilihan raya umum.

Kali terkahir pemilihan parti pada 2018 yang menyaksikan Zahid dilantik sebagai presiden Umno.

Walaupun ketika ini Zahid ada kelebihan pertahan jawatannya, namun beliau dijangka berdepan tekanan daripada puak Umno yang menyokong perdana menteri dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob.

Dengan menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum, Zahid akan beroleh manfaat dan kata putus untuk menentukan siapa yang akan bertanding di bawah bendera Barisan Nasional (BN), memandangkan beliau juga pengerusi BN.

Menurut Zahid, ini adalah kali keempat perlembagaan parti dipinda sejak 1987 yang berhubung pemilihan parti.

“Pada 1987, perlembagaan telah dipinda untuk memberi 10 undi bonus bagi setiap pencalonan presiden dan timbalan presiden.

“Ini tidak menjamin kestabilan politik dan pada 1998 perlembagaan telah dipinda sekali lagi untuk memperkenalkan kuota bagi jawatan tertinggi dalam majlis tertinggi,” kata Zahid. – 15 Mei, 2022.

Iklan
Iklan