Najib harap Tahun Baru Cina bawa tuah kepada BN
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak mengharapkan Tahun Baru Cina 2018 membawa tuah kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Mudah-mudahan kita doa tahun tahun lunar ini akan memberi sesuatu keputusan yang sangat memberangsangkan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Ampang, Kuala Lumpur hari ini.
Awal bulan ini, Najib membayangkan pilihan raya akan diadakan sebelum jemaah pergi menunaikan haji Julai nanti.
Bagaimanapun, penganalisis politik meramalkan penentuan tarikh PRU14 itu bergantung kepada sejauh mana Barisan Nasional (BN) percaya proses persempadanan semula yang sedang berjalan sekarang dapat membantunya mendapatkan semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pemilihan sebelum ini.
Parlimen akan terbubar serta merta pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari iaitu sebelum akhir Ogos.
Beliau berkata, sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut dengan penuh meriah dan keceriaan memandangkan ekonomi negara semakin baik, sekaligus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap negara.
“Saya lihat suasana hari ini, tahun ini agak meriah. Barangkali kerana rasa keceriaan rakyat bila ekonomi kita berkembang 5.9% yang sudah, saham pun dah naik, ringgit pun lebih kukuh.
“Keyakinan terhadap masa depan negara kita menyerlah dengan ini maka sambutan Tahun Baru Cina tahun ini saya kira disambut dengan suasana yang sangat ceria dan meriah,” katanya. – 16 Februari, 2018.