Ekonomi perlahan jejas sumbangan untuk institusi kebajikan
Iklan
INSTITUSI kebajikan di seluruh negara berdepan kesukaran susulan kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan sumbangan semakin berkurangan diterima.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kenaikan harga serta inflasi menyebabkan sumbangan dan derma barangan kepada mereka mulai berkurangan.
Keadaan bertambah buruk sejak awal tahun lalu, dengan sumbangan barangan ke institusi kebajikan berkurangan 50%, begitu juga dengan sumbangan daripada segi kewangan.
Jurucakap rumah penjagaan warga emas Yi Xing USJ Old Folks Home Steven Gee Yee Seng berkata situasi ekonomi semasa yang menyebabkan hampir semua orang mengalami kesukaran, menambah tekanan kepada organisasi kebajikan.
“Mereka yang selama ini baik hati memberi sumbangan, mungkin sedang berdepan waktu sukar dengan perniagaan atau hilang pendapatan.
“Contohnya, penderma yang biasanya menyumbang tiga paket beras, kini hanya dapat menderma satu paket saja, dan sumbangan barangan lain juga berkurangan dengan begitu ketara,” katanya.
Memandangkan pusat jagaannya fokus kepada warga emas, Gee berkata jumlah makanan disediakan tidak begitu banyak, menyebabkan mereka masih dapat menguruskan bekalan dengan baik.
“Dilema terbesar pada masa ini ialah sumbangan wang. Kami perlu kira-kira RM14,000 sebulan untuk bayaran sewa, bil dan ubat untuk warga emas,” katanya.
Yi Xing USJ Old Folks Home di Subang Jaya menempatkan 23 warga emas pada masa ini. Perbelanjaan bulanan diuruskan menggunakan sumbangan diterima.
Sementara itu, rumah anak yatim House Of Love di Klang, Selangor juga berdepan masalah sama, tetapi berkata ia terus beroperasi dengan cara lebih berjimat-cermat.
Pengasasnya, Joseph Pang berkata pada awalnya rumah anak yatim itu menerima tajaan, mendapat sumbangan ayam setiap bulan.
Tetapi, sejak harga ayam semakin naik, penaja berhenti memberi sumbangan.
“Tambahan kepada kekurangan ayam, sumbangan lain juga berkurangan 30% berbanding sebelum ini, terutama barangan seperti Milo, beras dan lain-lain,” katanya.
Pang berkata beliau tidak ada pilihan lain kecuali memuat naik senarai bekalan diperlukan di Facebook dan memohon sumbangan.
“Walaupun tidak seperti dulu, tetapi respons diterima agak positif. Kami berjaya mendapatkan barangan itu, tetapi kami perlu membuat beberapa permohonan lagi,” katanya.
Ikat perut
Pang berkata selepas sambutan Tahun Baru Cina, sumbangan diterima agak perlahan, tetapi masih ada yang baik hati menderma.
Sehubungan itu, katanya rumah anak yatim itu menggunakan cara lebih efektif untuk mengekalkan operasinya.
“Bagi kanak-kanak di sini, kalau tiada ayam atau daging dalam makanan mereka, kita buka beberapa makanan dalam tin untuk selesaikan masalah itu.
“Tetapi pada masa sama, kami juga memberi sumbangan makanan kepada 160 hingga 180 keluarga di Lembah Klang. Jadi kami kurangkan jumlah sumbangan daripada RM200 kepada RM100,” katanya.
Pang berkata penghantaran makanan percuma ke rumah anak yatim itu juga berkurangan sejak peralihan ke endemik Covid-19 bermula pada awal bulan ini.
“Biasanya seminggu sekali ada yang taja makan tengah hari atau malam, tetapi sejak 1 Mei, jumlah tajaan makanan berkurangan, dan kami cuba untuk menyediakan sendiri tiga kali hidangan makanan untuk anak-anak di sini,” katanya.
Beliau berkata memandangkan kerajaan sudah membuka semula pelbagai sektor ekonomi, rumah anak yatim itu sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan aktiviti kutipan dana pada tahun depan.
Jully Yap, sukarelawan yang menyediakan makanan percuma sejak 13 tahun lalu, berkata sejak akhir-akhir ini, jumlah penderma semakin berkurangan akibat inflasi dan kos sara hidup yang melonjak.
“Kos bagi makan tengah hari ialah RM5 seorang tetapi dengan harga gas, ayam, daging, sayur, telur dan minyak semua naik, keadaan semakin sukar,” katanya.
Pada hari biasa, Yap dan rakan sukarelawannya pergi ke organisasi kebajikan di sekitar Lembah Klang dan mengedarkan 100 kotak makanan tengah hari bagi mereka yang memerlukan. – 19 Mei, 2022.