Iklan

SOP longgar punca kes HFMD naik, kata pakar kesihatan

Elill Easwaran2 years ago20th May 2022Berita
Hfmd
Pemantauan rapi akan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan terhadap penularan wabak HFMD di seluruh negara. – Gambar EPA, 20 Mei, 2022.
Iklan

PENINGKATAN jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini sebahagian besarnya berpunca daripada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata pakar kesihatan.

Mereka berkata kelonggaran SOP menyaksikan kanak-kanak lebih terdedah kerana lebih banyak bergaul.

Kes HFMD berada dalam aliran meningkat, dengan jumlah kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi 19/2022 berakhir 14 Mei menyaksikan peningkatan 349% berbanding minggu sebelumnya - daripada 1,676 kes di seluruh negara kepada 7,526 kes.

Kebanyakan kes - 94% - adalah kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah, manakala 5% dalam kalangan mereka yang berumur antara 7 hingga 12 tahun.

Majoriti kes adalah di Selangor sebanyak 28%, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 14%, Sabah (8%), Perak (8%) dan Kelantan (7.9%).

Presiden Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin berkata kelonggaran SOP dapat dilihat sejak beberapa minggu kebelakangan ini terutamanya semasa sambutan Aidilfitri.

“Semua pusat jagaan, tadika dan sekolah juga mula beroperasi sepenuhnya,” kata Zainal sambil menambah yang HFMD tidak begitu serius tetapi boleh menjadi sangat menular.

“Simptom biasa ialah demam, sakit tekak, lepuh di mulut, tangan dan kaki tetapi biasanya akan pulih dalam masa satu atau dua minggu.

“Hanya dalam beberapa kes yang mempunyai komplikasi serius seperti meningitis, paru-paru dan serangan jantung berlaku,” kata Zainal.

Tambahnya, bagi mengelak dijangkiti penyakit itu, seseorang itu harus mengelak daripada bergaul dengan pesakit yang mempunyai simptom dan tanda HFMD.

“Juga sentiasa amalkan kebersihan diri terutama kerap mencuci tangan menggunakan sabun. Dan sentiasa pastikan persekitaran serta pakaian anda bersih,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa ibu bapa supaya segera membawa anak-anak ke fasiliti kesihatan sekiranya mengalami simptom HFMD.

Beliau mengakui peningkatan HFMD membimbangkan dan jabatan kesihatan negeri diarahkan untuk menjalankan intervensi selain pengumuman oleh pejabat kesihatan daerah mengenai HFMD di kawasan mereka.

Khairy turut mengarahkan taska memeriksa kebersihan premis mereka bagi mengelak penularan HFMD.

Sementara itu, Dr Jin Ng, yang merupakan ketua perubatan DoctorOnCall, bersetuju jumlah itu meningkat tahun ini berbanding dua tahun lalu berikutan aktiviti disambung semula seperti tempoh sebelum Covid-19.

“Kebanyakan kes berlaku di pusat jagaan kanak-kanak, taska dan prasekolah. Ini semua ditutup semasa Covid-19. Oleh itu, kemungkinan penularan adalah jauh lebih rendah.

“Jika kita lihat angka HFMD pada tahun-tahun sebelumnya sebelum Covid-19, ia juga sama tinggi,” katanya.

Tambahnya, tiada sebarang aktiviti semasa tempoh berkurung juga menyebabkan hampir semua kanak-kanak yang dilahirkan dalam tempoh ini tidak terdedah kepada HFMD.

“Jadi secara kolektif kesemua mereka kini hanya pergi ke pusat jagaan kanak-kanak dan taska, dan kini terdedah untuk dijangkiti dan seterusnya meningkatkan penularan HFMD,” katanya.

Jin berkata memandangkan virus merebak melalui sentuhan dengan air liur dan lepuh, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar kerap mencuci tangan dan tidak berkongsi barangan peribadi.

“Ibu bapa yang mempunyai anak kecil harus belajar mengenal pasti tanda HFMD.

“Kanak-kanak perlu dibawa ke kemudahan perubatan jika gejala seperti itu muncul,” kata Jin.

Beliau juga berkata pengusaha taska, tadika dan prasekolah perlu menjaga kebersihan.

“Ini bermakna membersihkan permukaan dan mainan dua kali sehari dengan sabun. Peralatan makan hendaklah dicuci setiap kali selepas digunakan.

“Sekiranya terdapat pendedahan, kawasan yang tercemar hendaklah dibersihkan dengan larutan pembasmi kuman,” katanya.

Tiada rawatan khusus

Pakar Pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata tiada rawatan khusus untuk HFMD tetapi gejala sakit mulut dan demam boleh dirawat dengan parasetamol.

“Kebanyakan kanak-kanak akan lebih baik dalam tempoh tujuh hingga 10 hari. Jarang HFMD menyebabkan penyakit yang teruk, termasuk penglibatan jantung (miokarditis) atau otak (komplikasi neurologi),” katanya.

Beliau menambah kes adalah rendah sejak dua tahun lalu kerana terdapat peningkatan kesedaran tentang kebersihan, penggunaan pelitup muka dan pembasmian kuman pada tangan dan permukaan secara meluas.

“Ini bermakna ramai kanak-kanak yang akan mendapat HFMD pada masa itu tidak dijangkiti.

“Sekarang dengan pembukaan semula perkhidmatan pendidikan dan percampuran lebih ramai kanak-kanak, kita boleh menjangkakan lebih ramai kanak-kanak yang lebih terdedah (tetapi sebelum ini terhindar) akan dijangkiti,” katanya.

“Kakitangan pendidikan prasekolah harus memantau kanak-kanak dengan tanda dan gejala HFMD setiap hari semasa tiba di sekolah. Mereka juga harus memastikan kanak-kanak tidak berkongsi peralatan makan atau minum.” – 20 Mei, 2022. 

Iklan
Iklan