Video Tahun Baru Cina MCA bukan untuk bertanding Oscar atau Grammy
Iklan
VIDEO Tahun Baru Cina MCA dibuat bukan untuk bertanding mana-mana anugerah filem tetapi untuk menanam nilai kekeluargaan, kata Wee Ka Siong, membidas kritikan pemimpin parti seterunya, DAP.
Mengulas mengenai video tersebut, Timbalan Presiden MCA itu berkata mesej yang ingin disampaikan dalam video berdurasi 3minit 36 saat itu adalah mengalakkan pulang berkumpul bersama keluarga pada Tahun Baru Cina.
“Ini bukan anugerah Oscar atau Grammy.
“Kita mahu hasilkan video untuk menunjukkan nilai-nilai kekeluargaan dan kepentingan makan besar bersama keluarga. (Kerana) Ini (makan besar) tradisi keluarga untuk kongsi saat-saat berharga bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Ampang, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam pemimpin DAP Lim Kit Siang mengkritik jumlah tontonan video Tahun Baru Cina yang diperolehi olehi MCA berbanding jumlah tontonan video dari ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Wee bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai video Kok tersebut.
“Anda boleh buat video itu jadi kelakar atau menyindir dan sudah tentu orang ramai akan menontonnya,” katanya.
Ini kerana katanya, jumlah tontonan tersebut tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada sokongan undi.
“Mereka (DAP) ada skrip mereka sendiri, begitu juga dengan kami.
“Sama ada skil lakonan kami bagus atau tidak, ia tidak penting. Mesej yang kami ingin sampaikan ke seluruh Malaysia adalah lebih penting,” katanya.
Tambah beliau, makan besar bersama keluarga merupakan tradisi yang tidak boleh dilupakan.
“Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen memberitahu anak muda supaya tidak pulang untuk berkumpul makan besar bersama keluarga (pada Tahun Baru Cina) tetapi pulang ketika pilihan raya supaya mereka boleh mengundi,” katanya tanpa menyebut nama ahli Parlimen tersebut.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut berkata bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya di Ayer Hitam pada PRU nanti.
“Saya rasa bagi saya dengan rendah diri saya menawar diri untuk bertanding di kawasan ini (Ayer Hitam).
“Bagi saya sudah tiga penggal di kawasan itu, saya telah melakukan banyak benda. Rakyat mesti dapat menilai,” katanya. – 16 Februari, 2018.