Najwan, bekas PTD kini pemimpin pelapis berharga PKR
Iklan
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia?
PAKATAN HARAPAN Selangor dijangka berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Mohd Najwan Halimi dari PKR adalah salah seorang pemimpin akar umbi PKR yang ditugaskan mempersiapkan jentera parti berdepan pertarungan sengit itu.
Pemimpin berusia 32 tahun itu terlibat aktif dalam dua pilihan raya umum lalu, berkempen untuk Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2013. Sebelum itu, pada 2008, beliau adalah ahli pasukan yang membantu Nik Nazmi Nik Ahmad merampas kerusi negeri Seri Setia dari Barisan Nasional. Nik Nazmi berjaya mengekalkan kerusi itu pada 2013 dengan majoriti yang lebih besar.
Najwan disebut-sebut sebagai calon menggantikan Nik Nazmi di Seri Setia, Selangor yang pada 2013 mempunyai 51% pengundi Melayu, India (29%) dan Cina (18%).
“Ia akan jadi pertempuran sukar, tetapi tak mustahil untuk kekalkan kerusi itu. Saya percaya pengundi di Selangor bijak menilai prestasi kami mentadbir negeri.
“Akar umbi sudah siap sedia berdepan pertandingan tiga penjuru,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PAS Selangor sebelum ini berkata parti Islam itu yang sudah memutuskan hubungan politik dengan PKR dan DAP bersedia bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi negeri dan sebanyak mana kerusi Parlimen.
Najwan yang juga merupakan setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya, bagaimanapun berkata beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sekiranya beliau akan bertanding dalam PRU14.
“Kami sudah mempersiapkan jentera kami tetapi parti akan memutuskan pencalonan. Jika parti percayakan saya untuk bertanding, saya bersedia.
“Ia adalah tugas saya untuk memastikan jentera bersedia, saya seorang peraih undi sebelum ini tetapi jika mereka pilih saya sebagai calon, saya perlu mengetuai kempen. Saya sudah bersedia mental dan fizikal tetapi ia bergantung kepada keputusan kepimpinan,” katanya.
Bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) itu memulakan kerjayanya dalam politik sebagai pegawai khas kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim pada 2010, tawaran yang disifatkannya tidak mampu ditolak.
Anwar dan gerakan Reformasi 1998 yang mencetuskan minat Najwan dalam politik.
Katanya, beliau percaya kepada agenda perubahan di bawa Anwar dan ia menjadi salah satu sebab mengapa beliau menyertai PKR.
“Saya masih bersekolah ketika itu tetapi ia adalah titik perubahan untuk saya terlibat dalam politik. Dan ketika saya belajar di universiti, saya dapati saya gemar berkhidmat kepada rakyat dan perkhidmatan awam menjadi kegemaran saya.”
Gerakan Reformasi dicetuskan oleh pemecatan dan pemenjaraan Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, seterusnya menjadi titik tolak pembentukan PKR.
“Saya tahu ada orang menganggap politik itu kotor dan buruk tetapi bagi saya politik adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam dan dengan niat baik, ia boleh menjadi salah satu platform untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara,” kata Najwan yang dilantik sebagai timbalan pengarah Majlis Sukan Selangor pada 2015.
Sebelum tamat pengajian dengan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional, beliau sempat berkhidmat di pejabat pemimpin pembangkang dan melakukan kerja sukarela untuk parti.
“Selepas tamat pengajian pada 2008, saya sempat jadi jurutera sekejap sebelum menyertai perkhidmatan awam. Tetapi bila awam bekerja dengan kerajaan, ia membataskan kegiatan politik dan saya tak boleh kembangkan diri saya,” katanya.
Keluarganya berbelah bahagi tentang keputusannya berhenti kerja daripada perkhidmatan awam dan memasuki politik.
“Kedua-dua ibu bapa saya adalah penjawat awam dan keluarga saya tak pernah berbincang tentang politik dengan mendalam. Jadi bila tawaran sampai, ramai dalam keluarga saya yang menentang keputusan saya berhenti kerja, mereka kata kerja kerajaan lebih selamat.
“Tetapi saya rasa pengalaman yang saya boleh dapat bekerja dengan Anwar lebih bernilai untuk saya,” katanya menambah yang ayahnya pernah berkata seseorang tidak boleh kritikal kepada kerajaan tanpa menyertai politik.
Pada 2011, Najwan menjadi tumpuan media apabila memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat kedua Anwar. Beliau dipanggil sebagai saksi keenam pembelaan kerana mengenali pihak yang menuduh Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dalam keterangannya, Najwan berkata Saiful adalah bekas rakan university dan mempunyai kebencian kepada Anwar dan sangat “pro-kerajaan”. Najwan ketika itu berkhidmat di pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, jawatan disandang Anwar.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat kali kedua pada 2015, dan dijangka dibebaskan awal Jun ini selepas menjalani satu pertiga hukuman penjaranya kerana berkelakuan baik.
Najwan kini giat mendekati pengundi kawasan Kelana Jaya, turun padang hampir setiap minggu bertemu rakyat.
Katanya, pengundi perlu mengalu-alukan trend memilih pemimpin muda kerana mereka lebih terbuka dan menerima idea baru.
Seperti mana pada PRU2008, pembangkang meletakkan ramai politikus muda di bawah umur 30 tahun sebagai calon, kata pengasas forum dalam talian, Telawi Forum dan akademi penulis, Akademi Pak Sako itu.
“Kami lebih dinamik, bertenaga dan komitment kami lebih terarah. Kami terdedah kepada perkara melibatkan millennial.
“Jika saya terpilih untuk bertanding, saya tawarkan diri saya untuk kawasan ini (Kelana Jaya), saya sudah mempersiapkan diri saya untuk menghabiskan masa dengan rakyat,” katanya.
Katanya juga, beliau tidak bimbang memulakan kerjaya politik sebagai pemimpin akar umbi, percaya masanya untuk menonjol di peringkat nasional akan muncul juga.
“Politik adalah marathon dan saya tak mahu terburu-buru.” – 17 Februari, 2018.