Kontraktor bergelut kos bahan binaan naik mendadak
Iklan
KONTRAKTOR tidak mampu bertahan berikutan harga bahan mentah binaan yang melambung tinggi dengan kebanyakannya memilih untuk berhenti membida projek baharu bagi mengelak kerugian.
Beberapa kontraktor yang ditemui The Malaysian Insight berkata kos bahan mentah meningkat sebanyak 50% hingga 100% tahun ini disebabkan peperangan Russia-Ukraine serta ketidaktentuan ketara nilai ringgit.
Harga barangan meningkat secara mendadak termasuk simen, aluminium, kayu dan keluli.
Presiden Persatuan Kontraktor Malaysia Bersatu (UMCA), Leong Kin Keong berkata kontraktor kini bimbang untuk membida projek baharu.
“Setiap kali kami membida projek baharu, paling awal ia akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk memulakan pembinaan,” kata Leong.
“Tetapi pada kadar harga meningkat, kami tidak boleh bertahan. Malah, pembekal hanya memberi kami anggaran kerana kami tidak mempunyai klausa variasi harga (VOP) untuk bahan binaan.
“Tidak ada cara untuk kami meminta perbezaan kos jika bahan binaan naik harga, tanpa klausa.”
Klausa VOP adalah langkah berjaga-jaga dan membenarkan harga dalam kontrak diubah. Dalam kontrak pembinaan, ia biasanya merujuk kepada harga bahan binaan.
Leong berkata dilema bagi kontraktor swasta kini adalah untuk memulakan kerja untuk projek yang telah mendapat lampu hijau.
“Kami berdepan risiko melanggar kontrak tetapi sesetengah kontraktor lebih suka melakukan ini selepas menilai jumlah kerugian yang mereka hadapi jika mereka memulakan pembinaan (disebabkan peningkatan kos).”
Leong berkata, ini akhirnya akan memberi kesan negatif dalam sektor pembinaan.
Perlu campur tangan kerajaan
Pengerusi Persatuan Kin Cho Hong Wilayah Persekutuan dan Selangor, Chua Han Long berkata kos bahan mentah yang tinggi mengakibatkan masalah berterusan tetapi kerajaan tidak mengambil sebarang langkah untuk menanganinya.
“Harga bahan mentah melambung tinggi tetapi pemaju tidak mahu menaikkan harga,” kata Chua.
“Pada masa yang sama, pembekal tidak pasti berapa harga kos bahan. Jadi kita buntu.
“Masalah utama ialah jurang ketidaktentuan harga adalah besar, 50% hingga 100%. Ia tidak membantu dengan ringgit terus menyusut, sekali gus meningkatkan lagi kos bahan import.”
Leong berkata kontraktor juga sanggup menanggung risiko melanggar kontrak untuk sesuatu projek daripada berdepan kerugian lebih besar.
“Bagi projek pembinaan kerajaan pula, keadaannya berbeza, ia dikawal VOP, jadi harganya dikekalkan.
“Sektor swasta tidak mempunyai VOP melainkan pemaju memutuskan untuk memberikan semula subsidi tertentu, tetapi tidak semua sanggup berbuat demikian,” katanya.
Setiausaha Agung UMCA Sinn Fuh Ming berkata persatuan itu bersama dua pertubuhan lain telah menghubungi kerajaan berhubung harga bahan mentah tetapi tiada apa yang dilakukan.
“Kami meminta kerajaan membenarkan kontraktor swasta memohon VOP. Kos bahan semakin tidak terkawal,” kata Sinn.
“Sama ada benarkan kami memohon VOP atau beri kami subsidi. Kami mahu kerajaan melayan kami secara adil dan membantu kami melalui kesusahan ini.” – 28 Mei, 2022.