Iklan

Pengguna media sosial selar iklan Tahun Baru Cina

Melati A. Jalil7 years ago17th Feb 2018Berita
Kpdnkk cny ad chicken facebook pic 150218  full
Iklan ucapan Tahun Baru Cina oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang disiarkan akhbar tempatan memaparkan ayam.– Gambar The Malaysian Insight, 17 Februari, 2018. 
Iklan

PENGGUNA media sosial Malaysia menyelar akhbar kerajaan memaparkan seekor ayam jantan berkokok mengumumkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina menyifatkannya sebagai sikap tidak peduli kepada masyarakat Cina dan bukti kerajaan tidak ikhlas.

Dalam sebuah iklan muka surat penuh pada 15 Februari, sehari sebelum Tahun Baru Cina, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaparkan seekor ayam jantan dan perkataan “Wang!Wang!” yang digunakan untuk menggambarkan salakan anjing dan juga boleh diterjemahkan kepada “kemakmuran” dalam Bahasa Mandarin.

Masyarakat Cina meraikan Tahun Anjing tahun ini.

Susulan kecaman ramai, kementerian mengeluarkan permohonan maaf mengatakan ia adalah “kesilapan teknikal” tetapi tidak memberikan penjelasan lanjut.

Seorang pengguna Facebook, KC Loo berkata kesilapan itu adalah “merepek” dan berkata dia menjangkakan isu sama akan muncul tahun depan.

Tahun depan adalah Tahun Khinzir.

“Tahun depan adalah Tahun Khinzir, saya agak mereka akan ‘salah pula letak gambar guinea pig,” kata Loo.

Khinzir dan anjing dianggap binatang “tak bersih” dalam Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia.

Pengguna lain juga tidak menerima alasan “kesilapan teknikal” kementerian, mengatakan ini bukanlah kali pertama agensi kerajaan tidak sensitif kepada budaya minoriti.

“Tak nampak seperti kesilapan teknikal, lebih kepada keputusan sengaja untuk menggantikan zodiak betul kerana sebab-sebab tertentu. Mengecewakan,” kata Sean Teoh di Facebook.

“Tahun depan pula ayam berbunyi seperti khinzir,” kata seorang lagi pengguna media sosial, Michael CW Ng.

“Selalu buat silap yang menampakkan mereka separuh hati dan tak ikhlas…dalam ucapan mereka.”

Tidak jelas bagaimana kementerian boleh keliru membezakan antara seekor ayam dengan anjing, persoalan yang dianggap sesetengah pengguna media sosial sebagai ketidakcekapan kementerian.

“Saya tak boleh bayang bagaimana kesilapan sebegitu berlaku. Letak budak pejabat untuk buat kerja pegawai? Satu penghinaan!!!” kata Terence Yeoh.

“Tertukar antara ayam dan anjing satu kesilapan? Budak sekolah rendah pun tak akan  buat silap begitu,” kata Joe Tan pula.

Tahun ini, kompleks membeli belah dan peniaga mengelak menggunakan gambar anjing dalam ucapan Tahun Baru Cina mereka kerana bimbang menyinggung perasaan masyarakat majoriti Islam, seterusnya membangkitkan kebimbangan yang konservatif Islam semakin membarah dalam Malaysia yang kaya budaya.

Petronas juga dikecam kerana mengeluarkan angpaw berwarna putih, warna yang dianggap tidak elok dalam budaya Cina. – Gambar Twitter, 17 Februari, 2018.

Selain iklan KPDNKK itu, Petronas juga menjadi sasaran kecaman kerana menggunakan angpaw berwarna putih.

Petronas mengatakan rekaan itu dihasilkan daripada sebuah karya seni asli dalam himpunan koleksi Galeri Petronas.

“Ia menggambarkan sebuah lukisan Cina daripada koleksi seni Petronas, yang menggambarkan keraian harapan dan musim baru sempena tahun baru.

“Latar belakang warna cerahnya, bagaimanapun, disalah anggap sebagai putih, yang dalam budaya orang Cina dianggap tidak elok,” kata syarikat itu dalam kenyataan disiarkan di Facebook.

Petronas menambah yang bukan hasratnya menyinggung sensitiviti budaya dan sudah menggantikan rekaan itu dengan angpaw berwarna merah. – 17 Februari, 2018.

Iklan
Iklan