Iklan

Kos amah Indonesia mahal kerana permintaan tinggi, kata ejen

Angie Tan2 years ago28th May 2022Berita
Maid
Malaysia mengalami kekurangan pekerja asing selepas kerajaan membekukan pengambilan selama lebih setahun semasa pandemik Covid-19.– Gambar EPA, 28 Mei, 2022.
Iklan

KENAIKAN kos untuk mengupah warga Indonesia sebagai pembantu rumah di luar negara menyebabkan bayaran pengambilan pembantu rumah Indonesia meningkat di sini, kata pemain industri.

Tetapi mereka berharap kos itu akan turun dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 baharu Malaysia untuk pembantu Indonesia.

Yuran maksimum untuk mengupah pembantu rumah Indonesia kini dihadkan kepada RM15,000 di bawah Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerjaan dan Perlindungan Pembantu Rumah Indonesia yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada April.

Sebelum ini, bayaran yang melebihi had tersebut menyebabkan banyak aduan daripada majikan di sini.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (Pusma) Julian Tan Kok Hang berkata terdapat dua faktor utama mengapa bayaran tinggi untuk pembantu rumah warga Indonesia.

“Pertama, proses pengambilan di Indonesia sangat menyusahkan. Ejen pergi ke pulau-pulau kecil dan kawasan luar bandar untuk mengambil pekerja. Terdapat banyak prosedur yang perlu dipatuhi dan setiap langkah melibatkan kos.

“Kedua, pembantu rumah Indonesia mendapat permintaan ramai di seluruh dunia, selain Malaysia. Jika gaji di sini tidak bagus, ejen lebih suka menghantar rekrut ke Hong Kong, Taiwan dan Timur Tengah,” kata Tan.

Tan berkata kumpulan pertama pembantu rumah dari Indonesia akan tiba di Malaysia pada 31 Mei.

Beliau tidak mengetahui jumlah sebenar tetapi berkata ia adalah langkah yang baik untuk mengurangkan kekurangan pembantu rumah yang diperlukan di Malaysia.

Awal tahun ini, dilaporkan 10,000 pembantu rumah akan diambil selepas MoU itu ditandatangani.

Malaysia mengalami kekurangan pekerja asing selepas kerajaan membekukan pengambilan selama lebih setahun semasa pandemik Covid-19. Larangan itu ditarik balik Oktober lalu.

Pembantu rumah yang tamat tempoh permitnya terpaksa keluar dan majikan sukar mendapatkan pekerja baharu berikutan pembekuan dan kekurangan tenaga kerja asing.

Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia, berkata had RM15,000 telah menjadikan yuran pengambilan pekerja lebih berpatutan.

“Ia adalah munasabah kerana bukan mudah di pihak Indonesia untuk mengambil pekerja, apatah lagi pelbagai perbelanjaan lain,” kata presiden PAPA Foo Yong Hooi.

“Tetapi sekarang gaji mereka dinaikkan kepada gaji minimum RM1,500, saya harap agensi Indonesia dapat mengurangkan lagi yuran tersebut. Bagaimanapun, seperti yang saya faham, beberapa agensi masih menuntut bayaran yang tinggi.”

Foo berkata agensi yang mahukan bayaran tinggi bertegas bahawa sukar untuk mengambil orang menjadi pembantu rumah kerana gajinya rendah.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Kebangsaan Malaysia (Pikap) Fiona Low bersetuju dengan Foo. Beliau berkata walaupun MoU mengehadkan yuran pengambilan pekerja, realiti akan bergantung kepada sama ada agensi perekrutan Indonesia akan mengurangkan kos mereka.

“Sudah tentu saya harap ia akan dilakukan di bawah had RM15,000 dalam MoU. Jika kos di sebelah itu (Indonesia) boleh lebih rendah, maka kita juga boleh menyediakan pekerja dengan kos yang lebih rendah.

“Tetapi jika kos di sana kekal tinggi, maka kami juga perlu menyediakan dengan bayaran yang lebih tinggi,” kata Low.

Bulan lalu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata ejen di sana hanya perlu mengenakan bayaran paling tinggi antara RM7,000 dan RM8,000 untuk menghantar pembantu rumah ke Malaysia.

Malaysia dan Indonesia menandatangani “Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerjaan dan Perlindungan Pembantu Rumah Tangga Indonesia di Malaysia” pada 1 April lalu bagi memastikan hak dan kepentingan pembantu rumah warga Indonesia terpelihara yang menetapkan gaji minimum RM1,500.

Hermono baru-baru ini berkata sistem e-tracking akan digunakan untuk memantau majikan yang gagal membayar gaji pembantu rumah mengikut jadual.

Beliau sebelum ini telah melahirkan kebimbangan Indonesia mengenai layanan yang diterima warganya yang bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini berikutan beberapa kes penderaan dan juga kematian pembantu rumah.– 28 Mei, 2022.

Iklan
Iklan