Iklan

Namewee pertahan diri tidak hina agama

Melati A. Jalil7 years ago17th Feb 2018Berita
Namewee tahun baharu cina baru cina penjelasan video music
Namewee turut menafikan yang beliau mewakili mana-mana parti politik dengan berkata yang beliau tidak dikawal mahupun terlibat dengan sebarang parti. – Gambar cuplikan dari video di Facebook rasmi Namewee 黃明志, 17 Februari, 2018.
Iklan

PENYANYI rap kontroversi tempatan Namewee menafikan yang beliau menghina Islam atau masjid dalam video muzik terbaharunya “Like a Dog” yang diterbitkan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Penyanyi itu berkata tujuan video muzik itu dihasilkan atas nama hiburan semata, selain menegaskan yang beliau tidak bermaksud langsung untuk menghina sebarang agama atau kaum.

“Beberapa hari lepas, saya telah upload (muat naik) sebuah lagu bertemakan anjing. Lagu ini adalah sebuah lagu Tahun Baharu Cina.

“Sebelum ini juga saya ada mengeluarkan lagu Tahun Baharu Cina yang bertemakan ayam dan lagu lain yang berunsur lucu untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Dan sama sekali tiada niat untuk menghina mana-mana agama ataupun bangsa,” katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook-nya, juga sebagai tindak balas terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahmad Zahid, semalam berkata penyanyi provokatif itu tidak akan terlepas daripada tindakan ekoran video terbaharunya yang didakwa mengganggu sensitiviti rakyat Malaysia

“Orang ini (Namewee) telah terlepas daripada tindakan beberapa kali sebelum ini. Saya hanya ingin mengatakan bahawa suatu hari, tindakan akan diambil terhadapnya.

“Tidak bermakna jika mereka telah terlepas sebelum ini, mereka akan terlepas pada masa akan datang.

“Jangan salahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan diambil terhadapnya,” kata Zahid.

Dalam video yang diterbitkan sempena Tahun Baharu Cina itu, Namewee menyanyikan lirik yang setiap anjing dari negara lain mempunyai salakan yang berbeza. Jika bunyi salakan anjing Amerika “woof woof” dan Indonesia pula “bow bow,” anjing di Malaysia pula menyalakkan bunyi “mari mari wang wang.”

Nyanyiannya itu diikuti dengan penari bertopengkan anjing yang membaling wang mengikut rentak muzik.

Justeru, dalam perkembangan sama, aktivis media sosial Kamarudin Ahmad mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat klip video itu yang menunjukkan ada tarian berunsur lucah berdekatan Masjid Putrajaya.

Justeru, Namewee berkata yang video muzik itu dirakam di tepi jalan di jalan utama di Putrajaya.

“Babak dalam video muzik itu adalah jalan utama di Putrajaya.

“Dan bangunan dalam latar belakang itu, yang dalam satu kilometer adlaah pejabat perdana menteri,” katanya menambah yang tidak ada tempat ibadah kelihatan dalam video itu.

Tambah Namewee lagi, ada banyak syarikat penerbitan termasuk antarabangsa yang menampilkan bandar Putrajaya.

Namewee, atau nama sebenarnya Wee Peng Chee turut menggesa media supaya tidak melaporkan berita palsu yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat awam selain memohon menghentikan fitnah yang beliau menghina agama.

“Saya ingin menggesa semua pihak media di Malaysia yang melaporkan berita ini supaya tidak menyampaikan berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat, dan tampil dengan penjelasan supaya tiada lagi timbul salah sangka yang lebih parah,” katanya.

Pengarah itu juga turut menafikan yang beliau mewakili mana-mana parti politik dengan berkata yang beliau tidak dikawal mahupun terlibat dengan sebarang parti.

“Sekiranya ada komen dari saya yang berunsur politik, ia hanyalah pendapat saya sendiri sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya. – 17 Februari, 2018.

Iklan
Iklan