Pembekuan bukan penyelesaian kes dera amah, kata ejen
Iklan
PEMBEKUAN amah Indonesia ke Malaysia bukanlah penyelesaian muktamad bagi kes-kes penderaan kerana perkara melibatkan kebajikan pembantu rumah asing di negara ini memerlukan sistem yang lebih baik, kata ejen pembantu asing.
Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) berkata sepatutnya ada sistem lebih ketat untuk menyemak majikan dan memastikan hanya pembantu rumah asing yang layak bekerja di negara ini.
“Kita perlu mengkaji dan melihat kepada sistem yang lebih baik bagi mengurus kebajikan mereka di sini,” kata Presiden PAPA, Jeffreey Foo kepada The Malaysian Insight.
Beliau ditanya mengenai laporan media Indonesia mengatakan negara itu bercadang untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Lisio di Pulau Pinang minggu lalu yang didakwa didera oleh majikannya.
Akhbar The Jakarta Post hari ini melaporkan cadangan republik itu membekukan sekali lagi penghantaran amah ke Malaysia selepas insiden dera yang membunuh warganya minggu lalu.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata pembekuan semula itu akan membolehkan republik tersebut mengambil langkah memastikan kes seumpama itu tidak berulang.
Warga Indonesia itu, Adelina Lisao, 26, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Seberang Jaya sehari selepas diselamatkan oleh polis dari rumah majikannya di Bukit Mertajam.
Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah, lapor Berita Harian. Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah bersama seekor anjing peliharaan mereka.
Menurut The Jakarta Post, kematian Adelina menghidupkan semula perbahasan di republik itu tentang perlunya Indonesia mempertingkatkan perlindungan ke atas warganya yang diambil bekerja di negara lain.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu dengan Menteri di KementerianTenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri bagi merundingkan semula antara lain soal keselamatan pembantu rumah republik itu di negara ini.
Kata Foo, tidak dinafikan terdapat sebilangan kecil majikan Malaysia yang tidak berhati perut, tetapi sebarang masalah leibatkan pembantu rumah perlu diajukan kepada ejen suntuk konsultasi dan tindakan selanjutya.
“Tetapi ini hanya boleh dilakukan sekiranya mereka mengikut saluran yang betul dan sah untuk mengupah pembantu rumah asing.
“Apa yang kita dapati ialah pengambilan secara haram selalunya akan bermasalah kerana apabila timbul masalah antara majikan dan pembantu rumah, tiada pihak ketiga untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mempunyai undang-undang mencukupi untuk menghukum majikan-majikan seperti ini dan mereka yang didapati bersalah kerana mendera pembantu rumah mereka akan dikenakan hukuman berat.
“Kami memang menentang pengambilan pembantu rumah melalui saluran selain agensi yang mempunyai lesen kerajaan.
“Agensi tidak patut dilayan sebagai syarikat yang membuat keuntungan. Mereka mainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan baik antara majikan dan pembantu rumah.
“Tanpa mereka, hubungan kerja ini sukar dipulihkan, dan ini akan meningkatkan lagi kes penderaaan serta jenayah serius lain,” katanya sambil menambah beberapa kejadian sudah cukup untuk mencemarkan imej majikan Malaysia.
Katanya lagi, pengambilan langsung pembantu rumah tidak harus digalakkan kerana walaupun niat disebalik menawarkan harga lebih rendah kepada majikan Malaysia adalah baik, ini boleh disalah guna oleh segelintir orang dan menjejaskan pendirian hak asasi manusia negara ini. – 17 Februari, 2018.