Iklan

Ada kedai lagi murah dari KR1M 2.0

Yasmin RamlanNabihah Hamid7 years ago18th Feb 2018Berita
Kr1m 2.0 140218 tmiseth 05
Tinjauan mendapati tidak semua barang di Kedai Rakyat 1Malaysia lebih murah berbanding pasaran seperti diumumkan Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2018.
Iklan

TIDAK semua barang di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M 2.0) lebih murah daripada pasaran seperti yang diumumkan Putrajaya semasa melancarkan semula kedai harga patut itu baru-baru ini.

Hasil tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati pengguna merasakan perbezaan harga antara KR1M 2.0 dengan di tempat lain “hanya beberapa sen saja” untuk jadi alasan mereka bertukar kedai.

Tinjauan The Malaysian Insight baru-baru ini dibuat terhadap sebuah kedai harga patut TMG KR1M 2.0 di Seri Gombak, Selangor dengan enam premis lain – empat pasar raya, sebuah pasar mini dan sebuah kedai runcit persendirian – di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan itu membandingkan harga enam barangan iaitu beras 10kg, gula 1kg, minyak masak paket 1kg, tepung 1kg, Milo 1kg dan mi segera Maggi kari.

Daripada enam barang itu hanya tiga barang didapati lebih murah di KR1M 2.0 iaitu gula kasar, minyak masa dan tepung, dengan perbezaan harga 5 atau 10 sen.

Untung beli banyak

Perbezaan “hanya beberapa sen saja” itu bagaimanapun bagi mereka berbaloi sekiranya membeli dengan kuantiti yang banyak, seperti Sazali Abdullah Sani yang berniaga kuih.

Katanya, beza 10 sen harga tepung itu baginya besar kerana dia dan isteri menggunakan tepung dengan kuantiti yang banyak.

“Kuih yang isteri buat memang asasnya pakai tepung banyak.

“Untung peniaga yang menjaja macam saya ini kerana kita memang kena cari bahan mentah yang paling murah. Yalah, untung berapa sangat jual kuih,” katanya yang tinggal berdekatan dengan kedai rakyat itu.

Bagi penjaja, beza 10 sen harga tepung di Kedai Rakyat 1Malaysia, besar bagi mereka kerana perlu mencari bahan mentah yang paling murah. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2018.

Azila Ismail juga membeli dalam kuantitinya yang banyak kerana keluarganya besar dan perbezaan harga yang kecil itu jadi sangat ketara.

“Tepung, minyak dan gula walaupun beza 10 sen amat membantu.

“Kalau kedai ini jauh sangat dari rumah tak berbaloi juga tapi sebab KR1M ini satu kawasan dengan kami, jadi dapatlah jimat sikit. Ia jadi pilihan untuk saya beli barang dapur,” kata guru tuisyen berusia 40 tahun itu.

Ada juga yang memilih berbelanja di KR1M 2.0 setelah membuat perbandingan dengan harga di tempat-tempat lain, seperti suri rumah Normazura Mohd Tahir.

“Saya selalu bandingkan harga dan tengok juga barang apa yang dijual dan harga yang ditawarkan.

“Kalau betul-betul murah harganya memang akan dapat jimat. Kalau beza 20 sen pun saya berkira juga. Tapi kalau beza 50 sen hingga RM1 tu saya memang akan pergi tempat lain,” katanya yang tinggal di Shah Alam.

KR1M 2.0 merupakan penambahbaikan daripada KR1M yang terpaksa ditutup kerana tidak menguntungkan.

Inisiatif kedai rakyat ini dimulakan pada 2011 sebagai antara usaha pentadbiran Najib mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

Ia kini dilaksanakan di 51 kedai di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor, melalui kerjasama antara Tunas Manja Group (TMG) dan KK Mart sebagai rakan kongsi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tak banyak beza

Bagaimanapun, beberapa pelanggan dari pasar raya lain berpendapat perbezaan harga yang kecil yang ditawarkan di KR1M 2.0 tidak memberi apa-apa perubahan dalam corak perbelanjaan keperluan mereka.

Seorang peniaga pisang goreng yang hanya mahu dikenali sebagai Ida berkata, sebagai orang yang berniaga beliau sudah terbiasa berbelanja di pasar borong atau pasar raya lain.

“Saya belanja di pasar borong atau Mydin saja untuk beli pisang, minyak dan tepung.

“Pasar borong memang lagi murah sebab kita boleh ambil berkilo-kilo. Kalau barang keperluan rumah pun saya pergi beli di Checkers sebab sudah biasa,” katanya.

Daripada enam barang yang ditinjau, hanya tiga didapati lebih murah di KR1M 2.0 iaitu gula kasar, minyak masa dan tepung, dengan perbezaan harga 5 atau 10 sen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2018.

Sementara itu, pengusaha KR1M 2.0 yang enggan dinamakan berkata harga barangan yang di kedai rakyat itu masih boleh ditawarkan lebih murah bergantung kepada keadaan.

“Gula, minyak dan tepung kami memang antara barang yang termurah dalam pasaran. Bagi saya macam barang berjenama lain, jika ada pasar raya lain jual lagi murah itu strategi untuk menarik pelanggan.

“Mereka mungkin hanya jual pada harga kos ataupun sedikit rugi. Tapi bila ada pelanggan ramai datang, untung mereka mungkin datang daripada harga jualan yang margin keuntungan lebih tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, segala penetapan harga di kedai rakyat itu perlu dibincangkan bersama pihak KPDNKK dan masih mempertahankan kualiti walaupun dijual murah.

“Kita tak mahu barang yang terlalu murah, setakat untuk habiskan stok untuk kita jual. Tidak bagus begitu,” katanya.

Melalui KR1M 2.0, kerajaan memperkenalkan model baru yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang kepada lebih ramai peniaga runcit menyertai, tidak seperti KR1M yang asal.

Kerajaan juga bercadang meluaskan rangkaiannya sehingga 300 kedai di seluruh negara pada tahun ini sebelum ia mencapai sasaran 3,000 kedai dalam masa tiga tahun, kata Perdana Menteri Najib Razak, semasa melancarkan KR1M 2.0 baru-baru ini.

KR1M 2.0 yang dilancarkan pada 4 Februari lalu juga tidak lagi menjual barangan yang tidak berjenama selepas kerajaan mendapati pengguna lebih berminat dengan barangan berjenama tetapi yang dijual lebih murah. Kedai harga patut itu menawarkan 50 barangan pelbagai jenama dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran. – 18 Februari, 2018.

Iklan
Iklan