Iklan

PM terhimpit untuk ganti atau tidak portfolio Zuraida, kata penganalisis

Chan Kok Leong2 years ago4th Jun 2022Berita
49937668042 fdde045f8b o
Gara-gara tindakan Zuraida Kamaruddin (gambar) sertai PBM, Perdana Menteri Ismail Sabri kini terhimpit dengan tuntutan dari Bersatu dan Umno untuk mengadakan pilihan raya awal atau tidak, selain untuk ganti atau tidak portfolio yang akan ditinggalkan ahli Parlimen Ampang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.
Iklan

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengosongkan portfolio perusahaan perladangan dan komoditi sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.

“Tugas pertama Ismail Sabri, beliau kena elak konflik dengan Bersatu sebab beliau perlukan sokongan mereka untuk adakan PRU tahun ini selain tekanan puak Ahmad Zahid Hamidi,” kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Beliau berkata kedudukan Ismail Sabri kini goyah kerana memerlukan sokongan Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU nanti.

Malah dengan desakan kumpulan Ahmad Zahid untuk adakan PRU lebih awal, Ismail Sabri memerlukan semua bantuan yang boleh beliau dapat bagi mengelak daripada dipaksa untuk bubarkan Parlimen sekarang.

“PBM (Parti Bangsa Malaysia) masih sebuah parti kecil dengan cuma tiga ahli Parlimen, walau selepas Zuraida Kamaruddin sertai mereka. Oleh itu, mustahil Ismail Sabri akan tenteramkan PBM dengan kekalkan Zuraida yang baru keluar Bersatu minggu lepas,” kata Awang Azman.

Tambahnya Ismail Sabri mungkin akan membiarkan portfolio itu kosong sehingga PRU tahun depan.

“Atau juga (Ismail Sabri) mengambil alih portfolio tersebut kerana perdana menteri sebelum ini juga pernah pegang dua portfolio.”

Antara perdana menteri yang pernah memegang dua portfolio termasuk Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih jawatan pendidikan selepas Dr Maszlee Malik letak jawatan pada 2019 selain Najib Razak yang memegang jawatan menteri kewangan.

Semasa era Barisan Nasional, Dr Mahathir juga pernah memegang jawatan menteri kewangan selepas Anwar Ibrahim dipecat pada 1998.

Selain Dr Mahathir dan Najib, Anwar dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ibrahim juga memegang portfolio kewangan dan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat semasa mereka menjadi timbalan perdana menteri.

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga percaya Ismail Sabri tidak akan melantik sesiapa untuk mengisi jawatan Zuraida.

“Ia satu keputusan yang sangat sukar kerana ada desakan daripada Bersatu dan Umno,” katanya.

Malah Tunku Mohar berkata perdana menteri berkemungkinan besar akan biarkan kerusi itu kosong sehingga PRU akan datang.

“Beliau tidak boleh tahan Zuraida kerana Bersatu akan marah dan beliau juga tidak boleh ganti dengan ahli Parlimen Umno kerana ia juga akan mengganggu Perikatan. Oleh itu, pertaruhan paling selamat ialah membiarkannya kosong sehingga PRU15,” kata Tunku Mohar.

Zuraida minggu lepas umum akan letak jawatan daripada Bersatu untuk bersama PBM.

Ahli Parlimen Ampang itu juga merancang untuk meletakkan jawatan sebagai menteri. Namun, pada Rabu Ismail Sabri memberitahu pemberita beliau akan putuskan peletakan jawatannya selepas bertemunya selepas Zuraida kembali dari luar negara minggu ini. – 4 Jun, 2022.

Iklan
Iklan