Iklan

Tugas pembangkang tawan pengundi muda, kata penganalisis

Angie Tan2 years ago5th Jun 2022Berita
50299853226 1ff2cb08d3 b
Tinjauan baru-baru ini mendapati ramai pengundi muda lebih tertarik dengan pendekatan BN berbanding PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2022.
Iklan

PARTI pembangkang perlu mengetepikan perbezaan mereka dan mula bekerjasama untuk menawan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Tinjauan baru-baru ini ke atas pengundi muda menunjukkan walaupun 41% responden muda masih belum membuat keputusan, Barisan Nasional (BN) bagaimanapun menjadi pilihan utama 15.5% belia yang dikaji.

Walaupun penganalisis menyatakan BN lebih mendapat tempat di mata pengundi muda, tidak ada yang muktamad.

Penganalisis politik Thock Kian Wah berkata, kelebihan BN hanya kecil.

“Memandangkan pada masa ini terdapat banyak kem dalam parti politik, dapatan tinjauan tidak dapat menunjukkan dengan pasti di pihak mana undian belia berpihak,” kata Thock kepada The Malaysian Insight.

“Masih terdapat 41% yang belum membuat keputusan, bermakna masih banyak ruang untuk parti memperjuangkan undi mereka.

“Semua orang mahukan bahagian mereka, tetapi BN mempunyai kelebihan sekarang, namun itu bukan bermakna ia tidak akan berubah.”

Tinjauan itu, katanya, hanya mencerminkan undi popular semasa.

“Pakatan Harapan tidak berjaya dalam tempoh 22 bulan memerintah, sehingga banyak janji tidak ditunaikan. Jadi banyak sokongan kembali kepada BN.

“Berdasarkan latar belakang ini, lumrah bagi golongan muda untuk memihak kepada BN.”

Jika pembangkang mahu memancing undi belia, mereka mesti bersatu dan bekerjasama, kata Thock.

“Ia bergantung kepada bagaimana mereka bersatu. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, ia hanya menguntungkan BN.”

Undian dijalankan antara 22 Februari dan 7 Mac oleh Architects of Diversity (AOD) dengan kerjasama Undi18 dan Undi Negaraku. Responden berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Tinjauan itu menunjukkan BN mendahului sedikit dengan 15.5%. Perikatan Nasional pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan kedua tertinggi dengan 13.8%.

Muda, yang diketuai ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di tempat ketiga dengan 11.9% manakala PH di tempat keempat dengan 10.5%.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima 4.3% sokongan daripada responden manakala hanya 2% menyokong Warisan.

Hanya 0.7% mengundi Pejuang, parti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan 0.4% menyokong Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Tinjauan itu sebahagian daripada gerakan #Undi100Peratus yang menyasarkan 100% golongan muda keluar mengundi pada PRU akan datang.

Tinjauan mendapati 80% berkata, mereka akan keluar membuang undi manakala 13% mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Banyak manifesto PH gagal dilaksanakan semasa memerintah selama 22 bulan sekali gus menyebabkan pengundi muda hilang kepercayaan terhadap mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2022.

Pengundi terjejas kerana isu tempatan

Penyelidik Merdeka Center, Ted Lee berkata, apabila pembangkang bersatu, ia akan mendapat bahagian yang lebih besar dalam undi pemuda berbanding BN.

“Mereka yang berasal dari kawasan luar bandar Melayu berkemungkinan besar mengundi mengikut cara keluarga mereka mengundi mengikut sejarah. Tetapi memandangkan keadaan ekonomi semasa, ini mungkin berubah apabila pengundi berusaha untuk menghukum penggubal undang-undang.

“Semua orang menjangkakan ekonomi akan bertambah baik apabila kita berada dalam peralihan ke fasa endemik, tetapi itu tidak berlaku.

“Jadi pengundi boleh memilih untuk menghukum pakatan pemerintah,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Tunku Abdul Rahman dan pensyarah Liew Wai Chern berkata, kebanyakan anak muda belum membuat keputusan untuk mengundi parti mana.

“Parti politik tidak mempunyai cara untuk meramalkan pilihan pengundi, oleh itu sukar untuk meramalkan keputusan pilihan raya umum.”

Liew berkata, beliau memerhati semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor undi belia terhadap BN dipengaruhi tiga faktor, terutamanya pengaruh ahli keluarga.

“Pengundi terjejas oleh isu tempatan. Kalau asyik bercakap soal rasuah dan reformasi, tak guna kerana rakyat mahukan kestabilan.”

Liew berkata, dalam tiga PRN lalu, undi orang muda secara amnya berpecah antara BN dan PN dan mereka tidak endah dengan PH.

Beliau juga berkata, kemenangan Rafizi Ramli baru-baru ini sebagai timbalan presiden PKR bermakna berakhirnya pendekatan ‘khemah besar’ PH.

Rafizi tidak menyokong pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatukan semua parti pembangkang pada PRU15, sebaliknya mencadangkan PKR bekerja dari bawah semula untuk memenangi undi rakyat daripada berunding dengan parti pembangkang lain.

Sementara itu, Thock berkata, parti mesti memainkan isu yang membimbangkan golongan muda untuk memenangi undi mereka.

“Golongan belia antara lain mengambil berat mengenai pendidikan dan pekerjaan. Parti politik mesti menangani perkara ini untuk memenangi undi mereka, bukan mudah untuk menipu mereka.”

Politik perkauman satu perkara yang sudah berlalu, tegasnya.

“Politik perkauman tidak akan menyelesaikan masalah Malaysia. Parti mesti lebih pragmatik dan mendengar tuntutan orang muda.” – 5 Jun, 2022.

Iklan
Iklan