Barang makanan yang naik harga dan puncanya
Iklan
RANTAIAN bekalan global yang masih terumbang-ambing akibat kesan pandemik Covid-19 kini terjejas akibat perang Rusia-Ukraine, mendorong harga komoditi naik dan nilai ringgit merosot.
Harga makanan meningkat dengan ketara sejak Disember, terutamanya roti, tepung, minyak sayuran dan makanan dalam tin.
The Malaysian Insight melihat dengan lebih dekat beberapa barangan yang telah naik harga.
Roti
Kos bahan dan pengangkutan yang lebih tinggi menyaksikan kedai roti menaikkan harga barangan bakar mulai 1 Disember.
Pengeluar roti tempatan Gardenia Bakeries menyemak semula harga barangan bakarnya dengan mengambil kira kenaikan kos bahan mentah dan caj pengangkutan.
Pengguna kini membayar RM2.80 untuk sebuku Gardenia Original Classic 400g, meningkat daripada RM2.50.
Gardenia Original Classic Jumbo 600g berharga RM4, naik daripada RM3.55 manakala roti 400g Gardenia Bran & WheatGerm yang kini berharga RM2.50 akan dinaikkan kepada RM2.90.
Tindakan Gardenia mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyemak harga baharu.
Tepung
Harga tepung meningkat secara berperingkat dan melonjak drastik berikutan perang Rusia-Ukraine.
Rusia merupakan pengeksport gandum terbesar di dunia yang menyumbang lebih daripada 18% daripada eksport antarabangsa.
Pada 2019 Rusia dan Ukraine bersama-sama mengeksport lebih daripada satu perempat, 25.4% daripada gandum dunia, menurut Observatory of Economy Complexity.
Di peringkat tempatan harga tepung naik dua kali ganda tahun ini dan dijangka naik semula pada Julai.
Sekilogram tepung dahulu berharga RM2.34 namun kini dijual pada harga RM3.20.
Minyak masak
Kekurangan tenaga kerja, isu logistik dan perang menyaksikan harga minyak sayuran melambung tinggi.
Di Malaysia minyak sayuran pra-pandemik dijual antara RM30 dan RM45 tetapi kini harganya meningkat dua kali ganda.
Harga minyak sayuran di seluruh dunia mencecah paras tertinggi pada Februari dan meningkat 23% pada Mac, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ukraine adalah pengeksport minyak bunga matahari terbesar di dunia. Pada 2021 dan sehingga sebelum perang negara itu mengeksport lebih enam juta tan minyak bunga matahari, kira-kira separuh daripada bekalan dunia.
Rusia menyumbang satu perempat lagi eksport minyak bunga matahari tetapi berdepan kesukaran untuk mengeksport susulan sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.
Penggantungan awal eksport minyak sawit Indonesia juga mendorong kenaikan harga minyak masak. Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawit pada 23 Mei.
Makanan dalam tin
Pandemik Covid-19, kos pengangkutan, inflasi dan masalah bekalan telah menyebabkan peningkatan harga makanan dalam tin, naik antara 105 hingga 20% berbanding tahun lepas.
Harga ikan sardin dalam tin naik daripada RM5 kepada RM8.50, manakala kacang panggang naik daripada RM3.50 kepada RM4.20. – 8 Jun, 2022.