Iklan

Industri F&B bimbang gula pula naik harga

Angie Tan2 years ago11th Jun 2022Berita
49937544922 7e932f2467 o
Pemain dalam industri F&B berkata mereka bersedia dengan kenaikan harga gula tetapi tidak tahu bila ia akan berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.
Iklan

KETIKA pengguna sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang, kini harga gula halus pula dijangka naik.

Kenaikan daripada harga siling semasa RM2.69 sekilogram akan memberi kesan kepada barangan lain, kerana gula digunakan dalam kebanyakan penghasilan makanan, kata industri makanan dan minuman (F&B).

Pemain dalam industri F&B memberitahu The Malaysian Insight mereka bersedia dengan kenaikan itu tetapi tidak tahu bila ia akan berlaku.

Pengeluar gula utama negara dalam rundingan dengan kerajaan berkenaan kenaikan harga siling, memetik alasan inflasi dan kos input yang lebih tinggi.

Presiden Kedai Runcit Perak Chuah Seong Kok berkata harga tepung sudah naik, dan kenaikan harga gula akan memberikan kesan besar.

“Walaupun ada sesetengah pihak fikir gula makanan tidak sihat, tetapi ia tidak dapat dipisahkan dengan banyak barangan harian lain,” katanya.

Chuah berkata beliau faham jika kerajaan sangat bimbang dengan kenaikan harga gula halus, kerana ia bakal mencetuskan satu lagi gelombang inflasi.

“Tetapi kita juga faham sekarang ini semua barang mahal, tambah lagi dengan gaji minimum baharu, dan harga barang seperti kotak dan beg kertas juga semua naik. Rasanya munasabah untuk harga gula juga naik.”

CEO pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Bhd Syed Feizal Syed Mohammad dilaporkan berkata kos pengeluaran naik hingga 20%.

Walaupun harga siling baharu masih belum disahkan, ada laporan membuat spekulasi kenaikannya mungkin 30% atau 80 sen, yang akan menjadikan harga gula halus RM3.49.

Presiden Peniaga Barangan Runcit Negeri Sembilan Choong Chu Hai berkata beliau bimbangkan pengguna dan perniagaannya, dan berharap kenaikan harga siling akan dilakukan secara berperingkat.

Presiden Persatuan Peniaga Barangan Runcit Persekutuan Hong Chee Meng berkata sebaik saja harga gula halus naik, kebanyakan produk lain juga akan mengalami kenaikan harga.

“Contohnya ialah soda, susu pekat manis. Bagi susu pekat manis terutamanya, selepas terjejas akibat kenaikan minyak sawit, kini harga gula pula naik, saya risau susu pekat manis akan lebih mahal lagi selepas ini.” – 10 Jun, 2022.

Iklan
Iklan