Tekanan mental masih boleh berleluasa lepas beralih ke fasa endemik, kata pakar
Iklan
TEKANAN mental masih boleh berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia meski negara dalam peralihan kepada fasa endemik, kata pakar psikologi.
Menurut mereka, kehidupan rakyat tergangu dek tekanan emosi dan psikologi sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020.
Ini memberi kesan kepada murid sekolah yang berdepan masalah apabila tidak dapat hadir ke sekolah dan orang dewasa yang perniagaannya terjejas serta kepada mereka yang berdepan cabaran kewangan.
Kaunselor psikologi berdaftar Alice Lee membangkitkan persoalan ketika interaksi sosial tidak lagi disekat, adakah masalah kesihatan mental akan beransur hilang?
“Walaupun wabak semakin berkurang, budak sekolah yang berdepan masalah sebelum ini akan tetap takut selepas itu.
“Orang dewasa pun sama yang risau tentang perniagaan mereka dan yang berdepan cabaran kewangan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.
Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tahun pertama pandemik, masalah kebimbangan dan tekanan meningkat 25%.
Menurut Lee salah satu contoh adalah kadar kes bunuh diri yang berlaku ketika pandemik.
“Kes bunuh diri yang terjun Jambatan Pulau Pinang adalah cerminan (masalah kesihatan mental),” katanya.
Mengikut rekod daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang terdapat 13 kes terjun Jambatan Pulau Pinang pada 2019, sembilan kes pada 2020 dan 2021.
Namun sehingga 24 Mei tahun ini sahaja terdapat 15 kes terjun laut yang menunjukkan peningkatan ketara kes bunuh diri di negara ini.
Data juga menunjukkan pada bulan Mei ini sahaja terdapat lapan kes terjun laut di mana empat daripadanya ditemui meninggal dunia dan empat lagi berjaya diselamatkan.
Menurut Lee isu kesihatan mental ini perlu dinilai dengan berhati-hati kerana wabak ini memberi kesan kepada psikologi semua orang kepada tahap tertentu. – 13 Jun, 2022.