Iklan

Berapa lama ahli Parlimen anda berkhidmat

Chan Kok Leong2 years ago18th Jun 2022Berita
Tengku razaleigh hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah memegang rekod penggal terbanyak bagi satu kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.
Iklan

PADA pilihan raya umum lalu, selain menyaksikan Barisan Nasional (BN) tersingkir dari Putrajaya, ia turut menghasilkan bilangan mereka yang menjadi ahli Parlimen buat kali pertama paling ramai.

Terdapat 90 ahli Parlimen baharu di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mereka kemudiannya disertai tiga lagi calon kali pertama melalui pilihan raya kecil.

Tiga ahli Parlimen baharu yang menyertai selepas PRU14 ialah bekas pegawai polis Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Vivian Wong (Sandakan) dan Mohamad Alamin (Kimanis).

Dua lagi ahli Parlimen yang memasuki Dewan Rakyat selepas PRU14 melalui pilihan raya kecil ialah Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai). Tetapi kedua-duanya adalah ahli Parlimen veteran dengan Anwar berkhidmat bagi penggal ke-7 dan Wee untuk penggal ketiga.

Dengan jumlah ini, Parlimen kini mempunyai bilangan ahli Parlimen yang berkhidmat untuk penggal pertama paling ramai iaitu 93, diikuti 43 ahli Parlimen dua penggal dan 40 ahli Parlimen tiga penggal.

Ia menjadikan purata sebanyak 2.47 penggal bagi setiap ahli Parlimen daripada 220 ahli Parlimen selepas tidak mengambil kira kerusi Gerik dan Batu Sapi yang kosong selepas Ahli Parlimen Hasbullah Osman dan Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2020.

Tidak menghairankan sebahagian besar ahli Parlimen penggal pertama daripada blok Pakatan Harapan (PH) dengan PKR dan DAP mendahului sebanyak 28 dan 18. 

Bagaimanapun, PKR kini hanya tinggal 21 selepas tujuh daripada ahli Parlimen penggal pertamanya meninggalkan Bersatu, PSB dan PBM.

Bersatu pula yang mempunyai 15 ahli Parlimen kali pertama walaupun hanya lima menang di bawah parti itu. Manakala 10 lagi adalah daripada parti seperti PKR selepas “Langkah Sheraton” pada 2020.

Parti seterusnya dengan bilangan ahli Parlimen kali pertama paling ramai ialah PAS dengan 11, diikuti oleh PBB Sarawak (6), Umno (5), Warisan (4) dan Amanah (3).

Antara muka baharu yang menyertai Parlimen ke-14 ialah Menteri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian), Ahmad Faizal Azumu (Tambun) dan Rina Harun serta bekas menteri Mohd Redzuan Mohd Yusof (Alor Gajah), Yeo Bee Yin (Bakri), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Pendatang baharu lain yang terkenal di Parlimen ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Hannah Yeoh (Segambut), RSN Rayer (Jelutong), Awang Hashim (Pendang), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai). 

Selepas ahli Parlimen penggal pertama, terdapat 43 ahli Parlimen dua penggal dan 40 tiga penggal dengan sebahagian besar ahli Parlimen tiga penggal daripada pilihan raya 2008.

Antara ahli Parlimen tiga penggal yang dikenali ialah Khairy Jamaluddin (Rembau), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Annuar Musa (Ketereh), Hamzah Zainuddin (Larut), Tony Pua (Damansara), Teo Nie Ching (Kulai), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) dan R Sivarasa (Subang). 

Ahli Parlimen paling lama berkhidmat

Seiring dengan rekod bilangan ahli Parlimen baharu pada 2018, sudah tentu ada yang kecewa terutama bagi yang sudah sekian lama berkhidmat.

Antaranya ialah presiden MCA ketika itu Liow Tiong Lai yang kalah kepada Wong Tack di Bentong dan kemudian presiden MIC Dr S Subramaniam yang ditewaskan oleh Santhara Kumar di Segamat. 

Liow sedang berusaha untuk penggal kelimanya manakala Subramaniam menyasarkan untuk penggal keempatnya di Johor.

Tetapi sementara sebahagian mereka akur kepada gelombang sentimen anti-BN di seluruh negara, ramai yang masih berjaya melangkah ke penggal keenam dan seterusnya.

Antaranya ialah veteran Umno and DAP Tengku Razaleigh Hamzah dan Lim Kit Siang. Tidak goyah di Gua Musang, Tengku Razaleigh kini memasuki penggal ke-11 selepas menang kali pertama pada 1974.

Tetapi sementara Tengku Razaleigh sudah pasti akan memegang rekod penggal terbanyak bagi satu kerusi, Lim mempunyai kelebihan sebagai satu-satunya ahli Parlimen yang memenangi kerusi Parlimen di lima negeri.

Bermula dari Melaka (Kota Melaka 1969, 1974, 1982), Lim pernah menang di Petaling (1978), Tanjung (1986, 1990, 1995), Ipoh Timor (2004, 2008) dan Iskandar Puteri (2013, 2018). Satu-satunya beliau kalah ialah pada 1999 apabila tewas kepada Chia Kwong Chye di Bukit Bendera.

Tetapi tidak akan ada penggal ke-12 untuk Lim kerana beliau sudah mengumumkan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya semasa Kongres DAP pada Mac.

Seterusnya ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, yang kedua-duanya sudah berkhidmat selama sembilan penggal. 

Sementara sembilan penggal Najib berkhidmat di Pekan, Dr Mahathir pula di tiga kawasan - Kota Setar (1964), Kubang Pasu (1974-1999) dan Langkawi (2018).

Dr Mahathir bukan sahaja ahli Parlimen paling lama dipilih di dunia pada usia 96 tahun, beliau juga satu-satunya ahli Parlimen yang dipilih daripada pilihan raya 1964. 

Satu-satunya ahli Parlimen lain dari tahun 60-an ialah Lim yang pertama kali menang pada 1969.

Bagi yang berkhidmat selama lapan penggal ialah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Tan Kok Wai daripada DAP. 

Kedua-dua secara konsisten berkhidmat di kawasan yang sama iaitu Pagoh dan Cheras (dahulunya Sungai Besi).

Dr Mahathir Mohamad sudah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama sembilan penggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

Bagi yang berkhidmat selama tujuh penggal kini adalah Presiden PKR Anwar (Port Dickson), Menteri Parlimen dan Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) and Richard Riot daripada SUPP (Serian).

Mereka yang dalam penggal keenam ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang (Marang), Lim Guan Eng (Bagan), Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Noh Omar (Tg Karang), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Hishammuddin Hussein (Sembrong), Mohd Shafie Apdal (Semporna) dan Maximus Ongkili (Kota Marudu).

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Tze Wei tidak terkejut dengan bilangan ahli Parlimen yang berkhidmat lebih tiga dekad (enam kitaran pilihan raya).

“Mereka yang lama berkhidmat dalam Umno misalnya adalah calon PM. Mereka biasanya mendaki sangat tinggi untuk menjadi timbalan presiden atau presiden, dan oleh itu sangat sukar untuk diganti.

“Dan walaupun anda boleh dapati ahli Parlimen muda menjadi perdana menteri di negara lain, adalah sangat sukar untuk ia berlaku di Malaysia kerana mereka perlu naik pangkat dalam parti sebelum mendapat peluang. Justeru, ahli Parlimen perlu berkhidmat lebih lama sebelum mereka boleh dianggap sebagai calon PM,” kata Lau.

Beliau berkata satu-satunya pengecualian ialah Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri walaupun hanya sebagai naib presiden Umno.

“Tetapi ini disebabkan oleh pelbagai perubahan dalam kerajaan persekutuan sejak 2018.”

Bagi pembangkang, Lau berkata ia sama kerana parti seperti DAP dan PAS tidak mempunyai ramai calon sehingga 2008 apabila pembangkang memecahkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Sebelum itu, parti pembangkang tidak mempunyai calon mencukupi dan sudah biasa melihat pemimpin seperti Lim atau Hadi berkhidmat lama, katanya. – 18 Jun, 2022.

Iklan
Iklan