Rakyat Singapura bantu pulih pelancongan Pulau Pinang, kata pemain tempatan
Iklan
PELANCONG Singapura kini kembali ke Pulau Pinang selepas tiga bulan negara membuka semula sempadan.
Perunding Eksekutif Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Pulau Pinang Lim Mee Lee berkata pelawat republik itu bukan setakat ke Johor atau Kuala Lumpur saja, malah ada yang naik ke utara sehingga Pulau Pinang.
Katanya, ini mungkin juga kerana mahu “balas dendam” selepas dua tahun sekatan pandemik, selain mengalu-alukan perkembangan itu kerana pelancong asing negara lain masih sedikit. Walaupun rakyat Malaysia aktif bercuti dalam negara sejak rentas negeri dibenarkan, pelancong asing masih kekal beri hasil yang lebih tinggi.
“Pelancong luar masih kurang walau sempadan negara telah dibuka. Rakyat Singapura isi jurang ini. Lagipun, pertukaran (matawang) menguntungkan mereka, dan mereka dekat,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
Kedatangan mereka juga turut membantu hotel Pulau Pinang, tambahnya dengan kadar penghunian setinggi 80% terutamanya dekat kawasan pantai.
Ada beberapa cuti umum, cuti sekolah dan hujung minggu yang panjang dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dan selain musim durian di Balik Pulau.
“Jadi, saya sangat optimistik mengenai prospek industri hotel pada separuh kedua tahun ini berikutan perkembangan ini,” kata Lim.
Presiden The Penang and Province Wellesley Café Association Tan Kar Seong bersetuju, menganggarkan pemulihan sektor itu pada kira-kira 70 peratus.
“Bagaimanapun, bukan semua sama. Pada pemerhatian saya, yang bagus sahaja tahu cara guna media sosial untuk tarik pelancong.”
Tan berkata trend sekarang adalah untuk orang ramai mencari cadangan makanan melalui Internet, jadi penting bagi perniagaan untuk bijak dalam bidang pemasaran ini.
Tambahnya, selain warga Singapura, terdapat juga pelancong dari Indonesia dan Thailand.
“Mungkin agak lambat sedikit sebelum pelancong yang lebih jauh datang ke Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pelancong adalah dari negara-negara jiran.
“Pelancong Indonesia lebih suka Pulau Pinang sebelum ini, untuk pelancongan perubatan, manakala warga Singapura datang untuk beriadah dan berseronok. Sebab ringgit lemah, mereka lebih suka berbelanja.”
Ketua Persatuan Restoran & Kedai Teh Koo Soo Kwong Choon Tong Pulau Pinang, Vinah Yee Yook Chee berkata rakyat Singapura yang ada keluarga atau saudara-mara di Pulau Pinang menghabiskan masa makan di luar.
“Saya boleh cakap perniagaan sedang rancak pada kadar 90% untuk kedai kopi dan kedai teh. Mereka datang jumpa anak, cucu dan mertua mereka selepas dua tahun tidak berjumpa.”
Yee juga merasakan lebih ramai pelancong mengunjungi kedai kopi berbanding kedai makan mahal kerana mereka masih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka.
Selain itu, peningkatan kos untuk ramuan dan kekurangan beberapa bahan turut menjejaskan pengendali F&B.
“Pengusaha cuba menyesuaikan menu dan harga mereka. Pada mulanya, mereka jangka peningkatan kos sebanyak 15% hingga 20%, tetapi kini keadaan meningkat 40%,” kata Yee. – 22 Jun, 2022.