Iklan

Kumpulan pengangkutan awam kritik 'gimik' tambang percuma sebulan

Elill Easwaran2 years ago22nd Jun 2022Berita
Sop covid 19  20201007 hasnoor 031
Kumpulan pengangkutan awam berkata pengguna mahukan penyelesaian yang sebenar dan berkekalan kepada masalah kemudahan itu dan bukannya sebulan perjalanan percuma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2022.
Iklan

PENDUDUK Lembah Klang mahukan penyelesaian yang sebenar dan berkekalan kepada masalah pengangkutan awam dan bukannya sebulan perjalanan percuma, kata NGO pengangkutan awam Transit Malaysia.

“Mereka mencari pengangkutan awam yang mesra pengguna, mudah, kerap dan mudah diakses.

“Sekurang-kurangnya mereka mahu bas dan kereta api selamat serta boleh dipercayai,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan sebagai respons kepada langkah kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL percuma selama sebulan mulai 16 Jun.

Transit berkata adalah lebih baik RM155 juta yang dibelanjakan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan percuma selama sebulan digunakan bagi meningkatkan kebolehpercayaan pengangkutan awam dan mewujudkan serta mengurus tabung amanah pengangkutan awam bandar dan program subsidi silang.

Ini akan menjadi penyelesaian yang lebih lama dan mampan untuk meningkatkan jumlah penumpang.

Transit juga menyatakan perbelanjaan RM155 juta itu tidak melalui Parlimen dan mempersoalkan akauntabiliti kerajaan terhadap penggunaan dana sedemikian dengan cara itu.

Kumpulan itu mencatat aduan kerap pengguna pengangkutan awam di media sosial sejak akhir-akhir ini. Aduan dan gambar yang dikongsi adalah pencahayaan yang kurang baik, kawasan gelap di platform kereta api dan laluan pejalan kaki di dalam serta sekitar stesen.

Terdapat juga aduan tentang pengguna bas menunggu lebih 2 jam untuk bas pengantara MRT dan jadual bas tidak tepat. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Jun berkata semua perkhidmatan RapidKL - MRT, LRT, Bas Rapid Transit (BRT), monorel dan bas RapidKL boleh dinaiki secara percuma selama sebulan sebagai tanda pembukaan rasmi Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya.

Transit bagaimanapun berkata ini menyebabkan mereka yang tinggal di luar Lembah Klang mempersoalkan bila mereka akan mendapat perhatian serius untuk keperluan pengangkutan awam mereka.

Menjelang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang kumpulan itu berkata parti politik perlu mendengar permintaan orang ramai berkenaan pengangkutan bandar.

Keadaan pengangkutan bandar terlalu lebuh raya dan berorientasikan kereta serta tidak mampan manakala “subsidi petrol yang tidak adil” menjadikan penduduk bandar bergantung kepada kenderaan persendirian.

“Rakyat Malaysia tidak mendapat manfaat daripada janji projek mega yang besar, mewah dan mahal serta perkhidmatan percuma yang tidak mampan akhirnya tidak membawa ke mana-mana.

“Jika parti politik benar-benar berhasrat menyelesaikan masalah ini mereka perlu mencadangkan perubahan dalam pengangkutan awam dan dasar perancangan bandar serta membangunkan penyelesaian praktikal.

“Jika tidak perbelanjaan yang tidak mampan akhirnya akan membawa kepada pengurangan dalam perkhidmatan, menjadikan kehidupan lebih sukar bagi rakyat Malaysia,” kata Transit. – 22 Jun, 2022.

Iklan
Iklan