Iklan

Program Unisel-MSN beri peluang atlet dapatkan ijazah

Zulkifli Sulong7 years ago28th May 2017Berita
Malaysia football youth u-15 01
Melalui kerjasama antara Majlis Sukan Negara dan Universiti Industri Selangor, individu berbakat dalam sukan berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik cemerlang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2017.
Iklan

KISAH atlet angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang bermula sebagai penghantar tong gas menjadi inspirasi projek untuk melahirkan lebih ramai atlet berijazah.

Melalui kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Industri Selangor (Unisel), individu berbakat dalam sukan, walaupun tidak mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik masih berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah. 

Menurut Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman, beliau mahu golongan ini diberikan peluang sepenuhnya untuk berjaya dalam sukan dan akademik.

“Melalui projek ‘One State, One University, One Centre’, ia diharap dapat melahirkan pemain sukan bertaraf Olimpik di samping memiliki ijazah untuk menyara hidup mereka,” kata beliau semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman kedua-dua belah pihak baru-baru ini.

Pada peringkat awal, acara sukan yang dipilih adalah berdasarkan peluang untuk dimenangi dan sesuai dengan kemudahan yang ada di Unisel.

“Kami akan gunakan sepenuhnya tasik seluas 230 ekar yang ada dan sukan kayak akan menjadi pilihan utama,” kata Redzuan kepada The Malaysian Insight.

Pelajar yang dikenal pasti akan dilatih dalam sukan di samping memenuhi keperluan akademik melalui kerjasama antara MSN, Unisel dan juga Majlis Sukan Selangor.

“Kita bukan saja mahu melahirkan juara sukan tetapi juga jurulatih yang baik untuk sukan negara melalui program ini,” katanya lagi.

Melalui kerjasama kedua-dua pihak ini, Unisel dijangka menambahkan bilangan pelajarnya serta memperoleh promosi apabila pelajar berjaya dalam sukan nanti. 

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail juga turut positif dengan impak program ini.

“Ia secara tidak langsung membantu kami melaksanakan peranan selaku pihak bertanggungjawab dalam memajukan sukan untuk negara.”

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Akaun Unisel, Profesor Dr Noor Inayah Yaakub berkata, pihaknya akan memastikan kurikulum yang sedang disusun memenuhi syarat dan kelulusan dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 [Akta 679].

“Unisel akan menawarkan kepada atlet program pendidikan tinggi dan program latihan kemahiran di peringkat sijil tahun asas, diploma dan ijazah sarjana muda,” katanya sambil memberi penekanan ia tidak akan menjejaskan keperluan jadual penyertaan pertandingan dan latihan para atlet.

Pengambil pertama bagi pelajar ijazah sukan ini akan dibuat seawalnya pada sesi September 2017 ini atau pengambilan Januari 2018. – 28 Mei, 2017.

Iklan
Iklan