Harga makanan dijangka naik selepas kerajaan potong beberapa subsidi
Iklan
HARGA makanan akan terus melonjak apabila kerajaan menamatkan subsidi ayam dan minyak masak botol hujung bulan ini, kata Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Presidennya Marimuthu Nadason mengingatkan rakyat supaya bersiap sedia memandangkan kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan yang mana beliau salahkan dasar kerajaan yang terumbang-ambing.
“Kita tak pernah hadapi krisis (harga makanan) sebelum 2018. Tiada langsung kementerian yang fokus terhadap apa-apa.
“Apa yang telah kita sudah capai dari segi keselamatan makanan? Pendapatan negara telah menurun, sejauh mana kerajaan boleh tolong rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Minyak masak dan ayam
Kesan seterusnya akan berlaku mulai 1 Julai, apabila subsidi ayam dan minyak masak sawit botol dihapuskan, dan harga ditentukan oleh kuasa pasaran.
Ia meliputi minyak masak sawit tulen dalam botol 2 kg, 3 kg dan 5 kg, yang ketika ini masing-masing dihadkan pada harga RM12.70, RM18.70 dan RM29.70.
Bagaimanapun, subsidi kerajaan untuk minyak masak kampit 1kg pada harga RM2.50 akan kekal.
Harga ayam dan telur juga dijangka melambung bulan depan selepas skim harga maksimum runcit tamat 30 Jun ini.
Dari Februari hingga 30 Jun, harga ayam standard dihadkan pada RM8.90 sekilogram, dan RM9.90 untuk ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).
Sebelum Februari, harga ayam ditetapkan pada RM6.10 sekilogram dari ladang, RM7.80 sekilogram untuk borong dan RM9.10 sekilogram untuk runcit, di bawah skim kawalan harga kerajaan sejak 1 Januari.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi selepas sesi dialog dengan pihak berkepentingan pengeluar ayam pada Selasa, berkata harga ayam akan mencecah lebih RM10 mulai 1 Julai, tetapi tidak melebihi RM12.50.
“Ia akan tinggi sedikit daripada RM10 per kilogram, itulah yang kami harapkan,” kata Alexander kepada pemberita semalam.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata Putrajaya perlu tegas dalam memantau aktiviti pencatutan selepas 1 Julai.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia juga sedang menjalankan kajian terhadap kartel ayam.
“Jika ada bukti manipulasi kartel, maka tindakan wajib diambil terhadap mereka,” katanya.
Gula - belum diputuskan
Gandum antara bahan mentah yang turut naik harga. Menurut laporan berita yang memetik restoran India-Muslim, tepung 25kg yang berharga RM49.90 pada Januari, kini naik kepada RM65.
Selain itu harga gula juga turut naik dan kini dihadkan pada RM2.69 sekilogram.
Bagaimanapun Putrajaya belum buat sebarang keputusan walaupun sedang berbincang dengan pengeluar gula utama negara untuk menaikkan harga siling bagi menangani inflasi dan kos input yang lebih tinggi.
CEO pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Bhd Syed Feizal Syed Mohammad dilaporkan berkata kos pengeluaran naik hingga 20 peratus.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Azman Mohd Yusof berkata kabinet akan membuat keputusan mengenai perkara itu sebaik sahaja Putrajaya melengkapkan penglibatan pihak berkepentingan.
Sementara itu Marimuthu dari Fomca berkata Putrajaya wajib membuat pendirian kukuh kerana makanan yang diproses telah meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus hingga 25 peratus.
“Kerajaan semasa perlu ada dasar pertanian dan makanan yang mampan.
“Kita sudah lihat tiga kerajaan dalam tempoh empat tahun lepas. Wajib ada rancangan yang dilaksanakan oleh sesiapa yang berkuasa.”
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kawal perbelanjaan bagi memastikan mereka dapat teruskan kehidupan.
Ikan dan sayur
Ikan dan sayur-sayuran juga telah meningkat sejak setahun ini, dengan angka dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kenaikan di kebanyakan negeri pada April tahun ini, berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Cili kembung (capsicum) telah meningkat tahun ke tahun sebanyak 27.5 peratus, mencapai harga purata RM17.57 sekilogram pada April, manakala kacang hijau meningkat 23.3 peratus dengan harga purata RM11.78 sekilogram.
Timun juga naik sebanyak 19.3 peratus dengan purata RM8.92 sekilogram sementara cili hijau segar melonjak naik 15.5 peratus dengan harga purata RM15.33 sekilogram.
Ikan yang juga sumber protein popular rakyat turut mencatatkan kenaikan harga.
Ikan keli kini RM10.13 berbanding RM9.31 pada April tahun lepas, ikan siakap sekarang berharga RM20.67 berbanding RM18.15 sebelum ini, manakala ikan kembong kini RM16.57 berbanding RM15.13.
Mohideen menasihatkan pengguna supaya melaporkan sebarang kenaikan harga yang drastik kepada pihak berkuasa atau kepada persatuan pengguna. – 22 Jun, 2022.