Kekurangan cip lonjak permintaan kereta terpakai, kata pakar
Iklan
KEKURANGAN semikonduktor dan komponen lain yang dialami pembuat kereta di seluruh dunia adalah rahmat bagi peniaga kereta terpakai.
Tempoh menunggu yang lama untuk kereta baharu, mendorong permintaan kereta sedia ada meningkat, menurut pakar industri.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Syarikat Permotoran & Kredit (KL & Selangor) Dave Lim memberitahu The Malaysian Insight ia turut menimbulkan dilema kepada peniaga kereta terpakai apabila perniagaan bagus.
Mereka tidak mempunyai kereta yang mencukupi untuk dijual.
Lim berkata ini kerana pembeli yang berhasrat membeli kereta baharu tidak tergesa-gesa menukar kereta yang ada kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kereta.
“Hanya apabila mendapat kereta, barulah mereka menjual kereta lama.”
Lim berkata kekurangan kereta terpakai bermula enam bulan lalu apabila sektor ekonomi dibuka semula sepenuhnya selepas sekatan Covid-19 yang lama.
Beliau juga menegaskan pemilik kereta turut menyimpan kereta lama mereka sementara menunggu yang baharu kerana tidak mahu menaiki pengangkutan awam.
“Mereka lebih suka menyimpannya daripada menaiki pengangkutan awam. Itu menyebabkan kekurangan kereta.”
Lim berkata model popular dalam pasaran kereta terpakai ialah Honda, Toyota dan Proton, yang harganya meningkat antara 10% hingga 15%.
Beliau berkata keadaan itu mungkin berterusan sehingga akhir tahun ini.
Presiden Persekutuan Persatuan Permotoran dan Syarikat Kredit Malaysia (FMCCAM) Tony Khor berkata selain model itu, kereta yang berumur kurang daripada lima tahun turut mendapat permintaan.
“Secara amnya, harga kereta terpakai meningkat 3 hingga 5% tetapi yang berusia tiga atau empat tahun naik lebih tinggi, sebanyak 8%,” katanya.
“Kereta terpakai di bawah umur lima tahun mendapat permintaan tinggi di banyak tempat di negara ini tetapi di beberapa kawasan pinggir bandar, kereta yang lebih berusia dan diselenggara dengan baik masih popular.”
Seperti Lim, Khor juga percaya keadaan semasa akan berterusan sehingga akhir tahun ini.
Beliau percaya kekurangan cip akan berakhir pada masa itu dan industri akan kembali seperti biasa.
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Motor dan Syarikat Kredit Malaysia (FMCCAM) Teh Seng Hap berkata permintaan untuk kereta terpakai meningkat sebanyak 20% pada separuh pertama tahun ini.
“Pengedar kereta terpakai menyaksikan stok biasa mereka iaitu 50 kereta berkurangan sebanyak 50%. Kini ramai yang hanya ada kira-kira 20 kereta dengan penambahan stok yang sedikit.”
Beliau berkata perkara biasa bagi pengedar kereta terpakai hari ini menyaksikan bakal pembeli pergi tanpa membuat sebarang pembelian.
Khor daripada FMCCAM berkata ringgit yang lemah ditambah dengan kenaikan harga bahan mentah boleh menyebabkan harga kereta baharu naik tahun depan.
“Bahan mentah yang digunakan untuk mengeluarkan kereta didagangkan dalam dolar AS. Jika ringgit terus susut dan harga bahan mentah terus meningkat, kos kereta baharu pasti akan meningkat.
“Jika ia terlalu tinggi, pengilang pasti akan menurunkan kos tambahan itu kepada pengguna,” katanya. – 25 Jun, 2022.