Gelandangan di KL semakin ramai walau ekonomi dibuka semula
Iklan
GELANDANGAN dalam kalangan warga asing tanpa dokumen, penganggur dan warga emas yang tidur di kaki lima semakin membanjiri kawasan sekitar Bukit Bintang, Pudu dan Pasar Seni di Kuala Lumpur walaupun aktiviti ekonomi kini dibuka semula.
Pegawai kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Eric Teh berkata gelandangan yang termasuk warga asing itu semakin ramai apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan dan ekonomi dibuka semula.
Menurut Teh, kemungkinan peningkatan bilangan itu berlaku susulan berlaku keciciran dalam program Bantu Gelandangan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Tapi tidak semua gelandangan mahu dibantu keluar dari jalanan kerana apabila tinggal di penempatan disediakan ada peraturan
“Mereka tak boleh datang dan pergi sesuka hati. Tidak bebas sepenuhnya jadi mereka yang mahukan kebebasan akhirnya lebih memilih tinggal di jalanan.
“Sukar juga untuk membantu mereka mengubah cara hidup kerana tidak semua mahu dibantu selain menerima bantuan makanan. Mereka terima makanan daripada banyak badan kebajikan dan berkumpul di kawasan tumpuan pelancong untuk mengemis,” kata Teh kepada The Malaysian Insight.
Malah katanya ada beberapa badan kebajikan yang menawarkan penempatan kepada gelandangan ini namun ditolak.
Dalam kaji selidik yang dijalankan Pejabat Parlimen Bukit Bintang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas pembukaan semula ekonomi mendapati angka gelandangan yang tinggi dalam kalangan pertengahan usia antara 40-50 tahun serta golongan belia.
“Angka gelandangan berusia kekal sama tapi atas faktor pengangguran kita dapat lihat lebih ramai golongan berusia.
“Sebahagian gelandangan dalam kalangan belia adalah warga asing yang tidak memiliki permit bekerja dan pasport atau tinggal terlebih tempoh,” katanya yang turut memaklumkan ada menerima aduan daripada peniaga-peniaga tentang gelandangan warga asing yang tidur di lorong-lorong belakang kedai dan ada kebimbangan berkaitan aktiviti haram.
Tambah Teh pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Imigresen secepat mungkin berkait gelandangan warga asing kerana ia di luar bidang kuasa JKM. – 26 Jun, 2022.