Iklan

Kisah gelandangan di ibu negara

Angie Tan2 years ago26th Jun 2022Berita
Homeless story june 23,2022 afif 10 copy
Kawasan di sekitar Pasar Seni sering menjadi tempat melepak gelandangan di ibu negara yang kebanyakannya warga emas dan pendatang asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Jun, 2022.
Iklan

APABILA malam tiba, kaki lima di sekitar Pasar Seni di Kuala Lumpur menjadi rumah kepada gelandangan, tempat berehat dan berbual sesama mereka.

Ramai daripada mereka adalah warga emas yang melepak di kaki lima pada waktu siang, seperti disaksikan The Malaysian Insight baru-baru ini.

Mereka yang ditemubual berkata belum berkahwin atau tidak mempunyai anak.

Seorang lelaki berusia 80 tahun berkata beliau berada di jalanan untuk menghabiskan masa.

“Saya dilahirkan di Negeri Sembilan tetapi meninggalkan rumah untuk bekerja semasa remaja,” katanya sambil menambah pernah bekerja dalam bidang pembinaan.

“Saya tinggal di sekitar Pasar Seni walaupun sebelum Covid-19. Baru-baru ini pihak berkuasa menahan ramai orang, jadi bilangan kami semakin sedikit.”

Belum berkahwin dan tiada ahli keluarga, lelaki itu menegaskan beliau sebenarnya bukan gelandangan, tetapi menyewa bilik berhampiran dan memilih untuk melepak berhampiran Pasar Seni pada waktu siang.

Ditanya bagaimana beliau mampu menyewa bilik tanpa pekerjaan, beliau hanya berkata “ia rahsia”.

Dua wanita, seorang dalam lingkungan 70-an dan seorang lagi dalam 80-an, berkata mereka mempunyai rumah, tetapi datang ke Pasar Seni setiap hari untuk mendapatkan makanan percuma yang diagihkan oleh kumpulan amal.

Wanita yang berusia 80 tahun itu berkata beliau mencari barang untuk dijual bagi mendapatkan wang membayar sewa.

Sementara seorang lagi berkata beliau tinggal di Serdang bersama anak-anaknya tetapi berasa bosan di rumah.

Bagi menghabiskan masa, beliau menaiki bas ke Pasar Seni setiap hari untuk bertemu rakan-rakan dan menunggu makanan percuma yang diedarkan oleh kumpulan kebajikan.

Seorang peniaga yang mengusahakan gerai di Central Market berkata bilangan gelandangan di kawasan itu meningkat baru-baru ini.

“Mungkin kerana ekonomi teruk,” kata lelaki itu yang enggan dikenali.

“Mereka termasuk golongan muda yang bekerja pada waktu siang dan kembali ke sini untuk tidur pada waktu malam.”

Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 100 gelandangan tidur di sekitar Pasar Seni, membuat tempat tidur daripada kadbod di kaki lima di depan kedai dan tebing sungai yang bersimen di tepi pasar terkenal itu.

Eric Teh berkata bilangan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur meningkat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Jun, 2022.

Pembantu Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Eric Teh berkata sukar untuk memastikan kebenaran apa yang dikatakan orang ramai.

“Masing-masing mempunyai masalah yang berbeza. Mungkin ada yang mempunyai rumah tetapi terpengaruh dengan rakan untuk menyewakannya dan tinggal di jalanan.

“Ada yang memilih menjadi gelandangan kerana tidak mahu membebankan anak-anak mereka di hari tua. Terdapat pelbagai sebab.”

Kata Teh, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, bilangan gelandangan meningkat. 

Mereka termasuk orang dewasa muda dan ada yang berumur seawal 20 tahun.

“Ada yang mungkin dari luar bandar dan datang ke pusat bandar untuk bekerja.

“Memandangkan sewa mahal, mereka tidur di jalanan dan mencari tempat untuk bersiap pada waktu pagi sebelum pergi bekerja.

“Saya juga pernah melihat pasangan tidur di atas laluan jalan kaki sambil memeluk komputer riba mereka,” kata Teh. – 26 Jun, 2022.

Iklan
Iklan