Iklan

Logo ‘bulan’ lebih baik untuk PAS kekalkan kubu kuatnya, kata penganalisis

Chan Kok Leong2 years ago28th Jun 2022Berita
49936914852 4eddfd3256 o
PAS perlu guna logonya sendiri di Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana logo “bulan” sangat sinonim dengan parti Islam itu berbanding logo PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2022.
Iklan

PAS perlu menggunakan logonya sendiri di Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana logo “bulan” sangat sinonim dengan parti Islam itu berbanding logo Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Parti Islam itu hanya menang satu kerusi daripada semua kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Ini kerana pengundi tradisional PAS biasa dengan bulan, bukannya logo PN,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata parti itu bertanding menggunakan logo PN di lapan kerusi pada PRN Melaka dan 15 kerusi di PRN Johor, tetapi hanya menang satu kerusi.

“Tetapi Melaka dan Johor bukan kubu kuat PAS, jadi keadaan akan lebih menarik untuk melihat pencapaiannya di kawasan Melayu,” katanya.

Mazlan mengulas cadangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang parti itu perlu menggunakan logo sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tetapi Presiden PAS Abdul Hadi Awang menolak cadangan itu dan berkata ia hanya “pandangan peribadi” Hashim.

“Itu hanya pandangan peribadi dia. Buat masa ini, kita akan masih menggunakan logo Perikatan,” katanya yang juga ahli Parlimen Marang, pada Jumaat.

Mazlan berkata ada sebab mengapa PAS perlu kekal dengan logo PN.

“Walaupun mereka ada peluang lebih cerah di kawasan kubu kuat mereka, PAS juga perlu menunjukkan solidariti dengan Bersatu dan PN selepas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional.”

PAS pada masa ini memegang kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan semua kerusi persekutuan mereka dari tiga negeri ini.

Di Kelantan, PAS ada sembilan kerusi Parlimen diikuti lima di Terengganu dan tiga di Kedah. Di DUN, PAS memegang 36 daripada 45 kerusi di Kelantan, 23 daripada 33 kerusi di Terengganu dan 15 daripada 36 kerusi di Kedah.

Perpecahan dalam PAS

Pensyarah Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata perbezaan pandangan adalah kesinambungan daripada perpecahan dalam parti itu.

“Sebelum ini ini, parti itu berbecah antara hendak bekerjasama dengan Umno atau Bersatu. Walaupun pro-Bersatu Hadi menang akhirnya, Hashim lebih rapat dengan puak Mohd Khairuddin Aman Razali yang mahu bekerjasama dengan Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu keluar PAS pada Mac selepas disingkirkan daripada kepimpinan PAS kerana lebih gemar untuk bekerjasama dengan Umno.

Sehubungan itu, tidak mengejutkan untuk lebih ramai pihak konservatif dalam PAS lebih memilih untuk menggunakan logo bulan, berbanding logo PN, kata Awang Azman.

Tetapi walaupun Hadi menunjukkan solidariti dengan PN, menggunakan logo baharu bagi kalangan pengundi konservatif akan menjadi sangat mencabar, katanya.

“Ia sangat berisiko tinggi kerana PAS boleh hilang sokongan di negeri berkenaan yang hanya tahu logo dacing Barisan Nasional dan logo bulan PAS.

“Walaupun PAS menerima beberapa manfaat lain dengan menggunakan logo PN di Melaka dan Johor, mereka kemungkinan akan kalah banyak lagi jika pengundi keliru dengan pertukaran logo itu.

“Dan jika mereka kalah dengan Umno di negeri berkenaan, reputasi mereka sebagai parti Islam utama di negara ini akan menerima tekanan,” katanya. – 28 Jun, 2022.

Iklan
Iklan