Iklan

Susun semula program subsidi, kata pakar

Angie Tan2 years ago2nd Jul 2022Berita
52183939724 f4b1ee8673 b
Kerajaan membatalkan subsidi untuk minyak masak botol 2kg, 3kg dan 5kg tetapi mengekalkannya bagi beg poli 1kg. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.
Iklan

SISTEM subsidi yang sudah terlalu lama diamalkan di Malaysia tidak lagi boleh diguna pakai, kata pakar kewangan.

Mereka berkata sudah tiba masanya Malaysia mengguna pakai sistem subsidi bersasar seperti Singapura yang akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Ini juga akan membantu meringankan beban kewangan kerajaan, tegas mereka.

Pakar kewangan Koong Lin Loong berkata, sudah tiba masanya untuk membatalkan sistem subsidi semasa.

“Pakej subsidi semasa terlalu umum. Ini bermakna tidak kira anda tergolong dalam kumpulan pendapatan mana sekalipun, anda akan tetap mendapat manfaat daripadanya,” kata Koong kepada The Malaysian Insight.

Beliau mencadangkan Malaysia mencontohi model Singapura untuk menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

“Kerajaan sepatutnya memberikan bantuan tunai atau baucar kepada golongan ini bagi membantu mereka membeli barangan keperluan harian.

“Seperti bahan api, kerajaan memberi subsidi yang besar, tetapi ramai orang berpendapatan rendah tidak memandu, jadi ia tidak berbaloi.”

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata minggu ini, jumlah subsidi dijangka mencecah hampir RM77.3 bilion tahun ini, jumlah terbesar dalam sejarah.

Subsidi bagi bekalan keperluan mencecah dua pertiga daripada subsidi keseluruhan RM77.3 bilion, meliputi harga petrol, diesel, minyak masak, tepung dan elektrik serta keperluan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menyedari subsidi bahan api termasuk minyak masak, petrol, diesel dan gas petroleum cecair penting kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

Jumlah yang diunjurkan juga termasuk RM5.8 bilion subsidi elektrik bagi separuh kedua 2022, dalam usaha memastikan tiada kenaikan tarif elektrik selepas 1 Julai.

Mekanisme semasa juga mungkin tidak relevan lagi, kata Koong.

“Jika kita bandingkan subsidi yang dibayar antara Mac tahun ini dan tahun lalu, ia 10 kali ganda jumlahnya,” katanya.

Chua Tia Guan, pengarah eksekutif dan ketua perundingan cukai dan kewangan di Asia Business Centre (ABC) juga bersetuju sistem subsidi perlu disusun semula untuk meringankan beban kewangan kerajaan.

“Program subsidi sudah wujud sejak zaman bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1980-an. Ini bermakna orang ramai tidak tahu berapa harga sebenar setiap barangan.

“Sistem subsidi yang berterusan juga bermakna kita kehilangan kelebihan daya saing kita.”

Bagaimanapun, memandangkan kadar inflasi semasa, ia mungkin bukan masa terbaik untuk menghapuskannya.

“Memansuhkan subsidi sekarang akan membawa kepada hiperinflasi. Ia juga mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk membatalkan program itu.

“Kita memerlukan perancangan yang betul untuk melaksanakannya, ia tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa.”

Wong Chin-Yoong, profesor ekonomi di Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, program subsidi sedia ada sudah hilang arah.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata minggu ini, jumlah subsidi dijangka mencecah hampir RM77.3 bilion tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

“Baru-baru ini kerajaan membatalkan subsidi untuk minyak masak botol 2kg, 3kg dan 5kg tetapi mengekalkannya untuk beg poli 1kg.

“Saya setuju dengan pendekatan ini. Wang tunai yang kerajaan simpan daripada kurang membayar subsidi kini boleh disalurkan kepada keluarga berpendapatan rendah.”

Wong berkata, beliau menjangkakan mekanisme sama akan digunakan bagi subsidi gula dan bahan api.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata baru-baru ini, kerajaan menyedari subsidi bahan api termasuk minyak masak, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) penting kepada rakyat.

Mustapa berkata tanpa subsidi, inflasi Malaysia bagi bulan Mei akan mencecah 11.4%. – 2 Julai, 2022.

Iklan
Iklan