Iklan

Pusingan U subsidi untuk pujuk pengundi, kata pemerhati politik

Noel Achariam2 years ago8th Jul 2022Berita
Market-Chicken-Malaysia-TMI2017
Langkah pusingan U terhadap subsidi oleh kerajaan mungkin kesan daripada banyak bantahan yang diluahkan orang ramai mengenai kenaikan kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.
Iklan

KEPUTUSAN kerajaan meneruskan subsidi bagi barangan keperluan bertujuan memastikan pengundi gembira menjelang pilihan raya umum akan datang, kata pemerhati politik.

Mereka berkata ini perlu kerana rakyat sedang marah dengan kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun, pemerhati berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan lebih awal kerana kenaikan inflasi baru-baru ini boleh menjadi lebih teruk.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pusingan U terhadap subsidi mungkin kesan daripada banyak bantahan yang diluahkan orang ramai mengenai kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mampu kehilangan sokongan selanjutnya jika tiada prestasi kukuh.

“Ini menunjukkan kerajaan lemah dan tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal pentadbirannya.

“Ia pasti tidak bagus kerana isu memberi kesan kepada rakyat boleh menimbulkan kemarahan pengundi. Ismail Sabri dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu kehilangan sokongan pada tempoh genting ini,” katanya.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan harga siling untuk ayam dan telur, serta subsidi untuk minyak masak botol (2kg, 3kg, dan 5kg). Ia ditetapkan bermula dari 1 Julai.

Bagaimanapun kerajaan kemudian menarik balik dengan berkata ia tidak akan mengapungkan harga ayam dan mengehadkannya pada RM9.40 sekilogram.

Putrajaya juga akan mengekalkan subsidi untuk minyak masak 1kg dalam polibeg.

Pada masa sama, tarif elektrik dan subsidi lain akan diteruskan, berjumlah RM77.3 bilion untuk 2022. Kerajaan juga memberi subsidi harga penuh.

Tunku Mohar berkata jika Ismail Sabri tidak mengekalkan subsidi, maka kerajaan akan dipersalahkan.

“Jika beliau (Ismail Sabri) tidak bertindak, beliau akan dipersalahkan atas masalah yang dihadapi orang ramai, seperti kenaikan kos sara hidup.

“Beliau akan cuba menggambarkan bahawa beliau menyelesaikan isu itu. Tetapi, masalah itu sebenarnya dicipta oleh beliau dan pentadbirannya.”

Tambahnya, memandangkan keadaan ekonomi yang semakin teruk, secara logiknya pilihan raya perlu diadakan secepat mungkin.

“Semakin lama ditangguh, ekonomi akan jadi semakin teruk. Melainkan kerajaan boleh secara meyakinkan mengalihkan kesalahan kepada keadaan global.

“Justeru, rakyat kini menyalahkan kerajaan kerana ketidakmampuannya menangani isu ekonomi.”

Kerajaan tidak berfungsi

Tunku Mohar berkata selain isu ekonomi, perkembangan politik dalam Umno akan terus menekan Ismail Sabri untuk mengadakan PRU sebelum pemilihan parti mereka.

“Untuk itu, kemungkinan pilihan raya boleh diadakan sebelum pembentangan bajet 2023.”

Penganalisis politik Universiti Tasmania, James China juga bersetuju rakyat akan marah jika subsidi dipotong.

“Mereka tidak boleh membuatkan pengundi lebih marah. Mereka yang mencadangkan harga terapung adalah gila, kerana anda tidak memberikan berita buruk sebelum pilihan raya umum.

“Ia adalah satu tindakan yang tidak bijak dan kini mereka cuba membetulkannya. Dalam beberapa cara ia menunjukkan kerajaan tidak berfungsi dan tidak menyelaraskan dasar mereka bersama-sama.”

Beliau berkata sekiranya subsidi itu dihapuskan, rakyat akan menyalahkan bukan sahaja BN tetapi juga Perikatan Nasional (PN) dan PAS yang turut berada dalam gabungan kerajaan.

“Langkah ini, pusingan U, adalah untuk meredakan kemarahan daripada cuba memenangi sokongan rakyat.”

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata punca pusingan-U bagi subsidi mungkin disebabkan pelbagai maklum balas negatif daripada penduduk yang dipenuhi dengan kenaikan harga barangan keperluan hidup.

“Kerajaan mungkin perlu memikirkan dasarnya dengan lebih berhati-hati sebelum melancarkannya, agar tindakan seperti itu yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna dapat dielakkan.

“Ia akan memberi kesan kepada penerimaan rakyat terhadap pengenalan dasar pada masa hadapan.”

Oh berkata PRU15 mungkin diadakan secepat mungkin, kerana masalah akan bertambah buruk tahun depan. – 8 Julai, 2022.

Iklan
Iklan