Kaedah kiraan inflasi Malaysia sudah lapuk, kata pakar ekonomi
Iklan
MALAYSIA perlu menghasilkan kaedah lebih baik untuk mengira tahap inflasi kerana ia mungkin tidak mencerminkan apa yang dihadapi orang ramai, kata pakar ekonomi.
Ketika harga barang meningkat sejak akhir-akhir ini, kadar inflasi 2.8% pada Mei masih tidak menggambarkan keadaan ekonomi semasa berikutan subsidi yang dibayar oleh kerajaan, kata mereka.
Kerk Loong Sing, naib presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, berkata orang ramai tidak berasakan kadar inflasi hanya 2.8% memandangkan perbelanjaan mereka meningkat secara drastik.
“Indeks harga pengguna (IHP) dikira berdasarkan kaedah dari 1980-an, sudah tiba masanya untuk menyemaknya,” kata Kerk kepada The Malaysian Insight.
“Terdapat beberapa sebab berbeza bagi inflasi pada masa lalu tetapi kali ini ia lebih serius dan menjadi isu global.”
Pakar ekonomi itu berkata, disebabkan pandemik Covid-19, rantaian bekalan global terganggu. Ia ditambah dengan konflik di Ukraine menyebabkan isu itu menjadi lebih besar.
“Russia dan Ukraine serta pembekal baja. Russia juga antara pengeksport bijirin terbesar,” katanya.
“Kekurangan baja secara langsung akan mendorong harga makanan meningkat apabila kos pertanian meningkat, menyebabkan inflasi di seluruh dunia.
“Kadar inflasi Malaysia bagaimanapun masih rendah. Jadi kita perlu menghasilkan kaedah baharu untuk mengiranya.”
Kerk juga berkata, kerajaan harus berunding dengan pemimpin industri sebelum mengeluarkan subsidi kerana ia akan memberi kesan serius.
Teo Wing Leong, pensyarah Sekolah Ekonomi, Kampus Universiti Nottingham Malaysia, berkata hanya kerana kadar inflasi rendah, ia tidak bermakna ia salah.
“Orang ramai mungkin berasa seperti terdapat inflasi 30%-40%, tetapi ia tidak bermakna IHP salah,” kata Teo.
“Data dari Singapura, Thailand dan Indonesia juga menunjukkan tidak ada yang mencapai kadar itu.”
Teo berkata, pengiraan IHP termasuk harga barangan terkawal, oleh itu harga barangan sukar untuk naik.
“Bagaimanapun terdapat percanggahan antara kadar inflasi yang dikira mengikut piawaian antarabangsa dan persepsi rakyat.
“IHP hanya mencerminkan corak penggunaan purata rakyat, bukan situasi yang dihadapi oleh pengguna individu.”
Xiao Sai Zi, seorang profesor ekonomi di kampus Universiti Nottingham Malaysia, berkata orang ramai mungkin tidak cenderung untuk mempercayai IHP kerana mereka jelas berbelanja lebih.
“Inflasi pada Mei 2.8% tetapi apabila anda keluar untuk membeli sesuatu, harga jelas meningkat sebanyak 5 hingga 10%. Ini bukan harga yang mereka bayar tahun lalu tetapi IHP tetap sama.
“Jika kita lihat IHP secara lebih terperinci, ia melihat kepada 200 item dalam pelbagai kategori. Sebab utama yang mendorong inflasi sekarang adalah pengangkutan (3.9%) dan makanan (5.2%). Ini bermakna kadar inflasi keseluruhan lebih tinggi, yang digambarkan menerusi harga barangan,” kata Xiao.
Xiao berkata orang ramai mungkin berfikir kerajaan berbohong mengenai kadar inflasi kerana mereka tidak tahu bagaimana ia dikira.
Malaysia sebaliknya harus menggunakan kaedah berbeza, seperti indeks harga perbelanjaan penggunaan individu yang digunakan di AS.
“Indeks ini mengukur harga yang dibayar oleh penduduk AS, atau mereka yang membeli bagi pihak mereka, untuk barangan dan perkhidmatan.
“Kaedah ini lebih berkesan dan kerajaan boleh mengambil langkah berbeza untuk melihat inflasi.”
Kadar inflasi adalah 2.8% pada Mei dan purata 2.4% bagi lima bulan pertama tahun ini.
Berbanding kadar inflasi di beberapa negara, angka di Malaysia adalah rendah. AS melaporkan kadar inflasi 8.6% bagi Mei; di UK 9.1% dan kadar inflasi Indonesia merosot kepada 4.4% pada Jun. – 11 Julai, 2022.