Iklan

Waspada penipuan pakej pelancongan, pengusaha beri amaran

Angie Tan2 years ago13th Jul 2022Berita
Langkawi 20180113 tmihasnoor 011
Orang ramai diingatkan waspada dengan pakej pelancongan murah yang ditawarkan di media sosial. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussan, 13 Julai, 2022.
Iklan

KETIKA pelancongan dan perjalanan mula meningkat susulan kelonggaran sekatan Covid-19, lebih banyak agensi pelancongan mengadu menjadi mangsa penipuan yang menggunakan nama dan maklumat syarikat mereka untuk menipu pelanggan.

Antara agensi yang menerima pasaran pelanggan berbahasa Cina, hanya empat daripada mereka melaporkan aktiviti sedemikian oleh penipu pada Jun, tetapi sebulan kemudian, 41 agensi mengalami kejadian serupa, menurut Pengarah Urusan We Holidays Joannes Vee.

Syarikat Vee sendiri juga mempunyai pengalaman serupa. Sekitar pertengahan Jun, agensi itu mula menerima banyak panggilan daripada “bakal pelanggan” bertanyakan pakej mereka untuk penginapan resort di Pulau Redang.

Bagaimanapun, agensinya tidak menawarkan pakej sedemikian.

“Kami mendapat tahu daripada pelanggan pakej seperti itu diiklankan menggunakan nama dan gambar syarikat kami di Facebook. Kami kemudian mendapati halaman media sosial dibuat untuk kelihatan seperti halaman Facebook rasmi syarikat kami.”

Vee bercakap dengan agensi lain dan mendapati masalah itu lebih berleluasa daripada yang dijangkakan.

“Pada mulanya hanya terdapat empat kes, tetapi kini terdapat 41 kes,” kata Vee.

Malah ada seorang yang datang menuntut wang kembali. Vee berkata agensinya perlu menghubungi polis dan juga mendapatkan bantuan peguam.

Sehingga kini, agensinya menerima aduan daripada 10 orang mengenai penipuan tersebut.

Penggunaan media sosial hanyalah satu daripada strategi digunakan penipu sejak sekian lama dengan agensi pelancongan yang sah, tambah Vee.

Sebelum ini, pakej pelancongan palsu atas nama agensi yang sah dijual di platform e-dagang. Mencipta akaun media sosial palsu juga merupakan cara mudah untuk mengiklankan pakej dan cara cepat untuk mendapatkan wang tunai, kata Vee.

Pengurus Jualan BeeFlyz Holiday Dephine Lim berkata penipuan seperti itu berleluasa sejak pelancaran “Gelembung Pelancongan Langkawi” pada September tahun lepas. 

Skim itu dihentikan pada 1 April apabila Malaysia membuka semula sempadan kepada pengembara antarabangsa.

“Ketika Gelembung Pelancongan Langkawi itu, ramai pengguna tertipu. Mereka menghubungi syarikat kami dan berkata sudah membayar, tetapi kami tidak pernah membuat jualan sedemikian dan tidak menerima sebarang dana.”

Veronica Chin, ketua Perfect Holidays Sabah, berkata terdapat kes pelancong yang tiba ke destinasi, tetapi terkandas apabila tiba di hotel yang sepatutnya ditempah untuk mereka. 

Ini berlaku kepada pengguna yang menjadi mangsa pakej pelancongan palsu ke Semporna, Sabah.

“Pengguna akhirnya menyedari tertipu apabila tiada kumpulan pelancong menyambut mereka di lapangan terbang, atau mereka terus ke hotel sepatutnya tetapi mendapati tiada tempahan dibuat. Ketika itu, sudah terlambat,” kata Chin.

Beliau menambah Perfect Holidays Sabah kemudian mendapat akaun media sosialnya digodam oleh penipu.

“Beberapa bakal pelanggan membuat pertanyaan, berkata mereka melihat maklumat pakej pelancongan di halaman Facebook baharu kami dan kemudian mendapati 99% maklumat kami dicuri oleh penipu serta digunakan untuk meletakkan iklan di media sosial (menggunakan halaman Facebook palsu).”

Chin berkata membuat laporan polis dan turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menutup akaun Facebook palsu itu.

“Bagaimanapun, SKMM berkata mereka tidak boleh dan kami terpaksa berurusan dengan Facebook sendiri.”

Kebanyakan pakej yang dijual penipu adalah untuk perjalanan dan destinasi domestik, dengan harga antara beberapa ratus ringgit hingga lebih RM1,000, kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Johor Tay Kian Chuan.

“Selagi harganya tidak terlalu tinggi, orang ramai akan leka.

“Ia adalah untuk menarik minat mereka yang tidak sabar-sabar untuk melancong terutama selepas sekatan pergerakan akibat pandemik ditarik balik dan kini ekonomi sudah dibuka semula. Semua orang hanya mahu mencari pakej murah untuk melancong.”

Tay menasihatkan pengguna yang membeli tawaran perjalanan melalui Internet agar lebih berusaha untuk mengesahkan maklumat itu, termasuk membuat panggilan untuk mengesahkan tempahan dan juga menghubungi kementerian pelancongan untuk memeriksa sama ada syarikat yang menjual pakej itu sah atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Lim daripada BeeFlyz Holiday berasa penipu “terlalu pandai” dalam mengubah suai maklumat, dan membuat panggilan untuk semakan mungkin tidak menghasilkan sebarang keraguan.

“Saya fikir lebih baik jika pengguna melihat lebih banyak agensi pelancongan dan membandingkan harga untuk jadual perjalanan dan perancangan yang mereka mahukan. Jika harga tidak terlalu banyak berubah, beli dari agensi yang mempunyai kedai fizikal.

“Akhir sekali, apabila menghantar wang, ingat untuk membayarnya ke akaun ‘Sdn Bhd’ syarikat,” nasihatnya.

Agensi kini cuba berfikir selangkah di hadapan penipu dan menjangka modus operandi seterusnya mereka, tambah Tay.

Beliau percaya meminta pengguna memuat turun aplikasi mudah alih untuk membeli pakej pelancongan mungkin kaedah seterusnya, dan menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima maklumat sedemikian. – 13 Julai, 2022.

Iklan
Iklan