Pemuda Pakatan dakwa siasatan RoS berpunca 'perbuatan sabotaj'
Iklan
RATUSAN aduan yang dibuat oleh bekas ahli Bersatu terhadap parti itu merupakan daripada mereka yang cuba mensabotaj usaha pembangkang untuk mencabar Umno dan Barisan Nasional, dakwa timbalan ketua Pemuda Pakatan Harapan Syed Saddiq Abdul Rahman.
Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah menjalankan siasatan ke atas status mesyuarat agung tahunan Bersatu berikutan bantahan daripada beberapa ahli parti.
Aduan itu bermula daripada dakwaan mesyuarat agung tahunan parti itu yang diadakan pada Disember lalu melanggar perlembagaannya.
Syed Saddiq berkata, terdapat pihak yang cuba untuk “tidak mengesahkan pembentukan Pakatan Harapan”, kerana mencetuskan ketidakpastian mengenai pendaftaran Bersatu akan mengganggu usaha pakatan pembangkang untuk mencabar BN pada pilihan raya akan datang.
“Saya rasa mereka yang membuat aduan adalah daripada mereka dalam rangkaian penyelewengan sistematik untuk cuba dan sabotaj usaha Bersatu meluaskan rangkaiannya, agar kami boleh tewaskan Umno di kubu kuat mereka,” katanya pada satu sidang media hari ini.
“Kami tidak berniat untuk bergaduh dengan RoS, kami hanya mahukan titik pertemuan.”
Syed Saddiq juga berkata Pemuda pakatan telah menghantar memorandum kepada RoS bagi menggesa pendaftar pertubuhan itu mempercepatkan proses pendaftaran Bersatu dan juga PH sebagai sebuah pakatan rasmi.
“Saya harap RoS akan luluskan pendaftaran kami kerana kami tidak boleh tunggu untuk berdepan dengan BN dalam sistem yang adil jadi rakyat boleh menilai mana yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.
Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim sebelum ini berkata, pendaftaran PH tertangguh berikutan Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunannya, dan DAP masih belum menghantar laporan penuh pemilihan semula ahli jawatankuasa kerja pusatnya.
DAP telah mengadakan pemilihan semula bagi jawatankuasa kerja pusat pada satu kongres yang diadakan pada 12 November lalu manakala Bersatu telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 30 Disember. – 21 Februari, 2018.