Tanpa imej sederhana, PAS hanya satu lagi Umno, kata penganalisis
Iklan
DENGAN beralih ke arah lebih ekstrem dan menguburkan imej kesederhanaan yang disemai ketika zaman Nik Aziz Nik Mat, PAS kini seolah-olah menjadi cermin Umno, kata penganalisis politik.
Keputusan parti Islam itu untuk menggugurkan slogan seperti “PAS untuk semua” dan strateginya untuk fokus semata-mata pada isu kaum dan agama, bermakna ia akan hanya menarik pengundi daripada kumpulan yang sama dengan Umno.
Pensyarah politik dan dasar awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata berdasarkan kajiannya pada 2015, kesedaran PAS tentang nasionalisme Melayu-Islam semakin meningkat, terutama selepas kematian Nik Aziz yang juga mursyidul am parti itu pada 2015.
“
“Kita sedang melihat kecenderungan bercakap tentang isu Melayu. Ini bermakna PAS akan bercakap tentang perjuangan Melayu-Islam, yang sudah lama diperjuangkan oleh Umno,” katanya.
Sehubungan itu, sukar untuk pengundi atas pagar untuk membezakan antara PAS dan Barisan Nasional (BN).
Pensyarah Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kedua-dua PAS dan Umno pada masa ini menggunakan isu agama untuk mendapatkan sokongan.
“PAS menggunakan isu agama sebagai talian hayatnya dalam politik. Pendekatan politiknya hampir serupa dengan Umno,” katanya.
Kedua-duanya, PAS dan Umno sudah sekian lama bertanding berebut undi Melayu-Islam, tetapi di bawah kepimpinan Nik Aziz, terdapat langkah lebih sedar oleh kepimpinan PAS untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain dan menggunakan agenda lebih besar iaitu termasuk hak asasi manusia dan mempertahankan hak perlembagaan bagi bukan Islam.
Nik Aziz sering mengkritik isu rasuah dalam kerajaan dan sangat lantang bercakap tentang skandal 1MDB.
Keputusan parti itu untuk lebih sederhana memberi kemenangan kepada pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013. PAS memutuskan ikatan dengan DAP pada 2015 dan PKR 2016, susulan keputusan parti itu untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Kenaikan pangkat Abdul Hadi Awang ke jawatan tertinggi susulan kematian Nik Aziz, juga tidak membantu parti Islam itu.
Hadi menjadi lebih mesra dengan Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak dan kelihatan seirama dengan kebanyakan dasar yang dibawa Umno.
Hadi dipetik sebagai berkata PAS akan bertanding dalam PRU sebagai sebahagian gabungan baharu, Gagasan Sejahtera dan akan melihat BN dan Pakatan Harapan sebagai musuh pada PRU14.
Tetapi, pakar melihat keputusan Hadi itu akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru berlaku di Malaysia barat dan ia akan memberi kelebihan pada Umno dan BN.
Menang atau kalah
Profesor Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani memberi gambaran suram untuk PAS.
Katanya, jika parti itu terus memainkan sentimen kaum dan agama, ia akan tenggelam dengan kekuatan dan kebesaran Umno, dan akan ditolak oleh pengundi moderat.
“PAS jadi lebih konservatif, bersikap seperti Umno bila bercakap tentang Islam, agenda Melayu, sesuatu yang sudah lama Umno lakukan.
“Jadi, PAS perlu melihat semula identitinya kecuali jika mereka memang merancang untuk jadi seperti Umno,” katanya. – 22 Februari, 2018.